Pages

Thursday, July 31, 2008

Keputusan JK PAS Pusat


Berikut adalah kenyataan media Tuan Guru Presiden PAS setelah mempengerusikan mesyuarat JK PAS Pusat siang tadi bersekali dengan Majlis Syura Ulamak PAS:

PAS TOLAK TAWARAN UMNO
TETAPI AKAN TERUSKAN PERBINCANGAN
DEMI KEPENTINGAN NEGARA DAN UMMAH

PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri. Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.

Walaubagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.

Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.

DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
31 Julai 2008

Wednesday, July 30, 2008

Nik Aziz: Hudud, qisas jika PAS-Umno bersatu



Jul 30, 08 2:39pm
Pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan Umno menjadi satu realiti, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun, bagi Menteri Besar Kelantan itu, cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam, akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Sejajar dengan semangat muqabalah untuk membincangkan masa depan umat Islam di negara ini, beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama.

"Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya dalam laporan Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya.

"Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya.

Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang menawarkan kepada PAS untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam, Nik Aziz berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.

Tuesday, July 29, 2008

MB Minta BPR Siasat – Pemuda PAS Buat Laporan Polis


Setiausaha DPPNT Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika ditemui Buletin Online malam ini.
Beliau berkata Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan malam kelmarin ketika bercakap dengan pemberita, beliau mengalu-alukan siasatan BPR keatas kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

“Ahmad, dalam ucapannya berharap pihak BPR tidak memilih dalam membuat penyiasatan dan meminta pihak BPR turut menyiasat projek pembangunan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong,”kata Wan Sukairi, sebelum berceramah di Majlis Sempena Isra’ Mikraj yang diadakan di Ma’ahad Tahfidz Wal Tarbiyah, Jalan Kelantan dekat sini.

Akhbar Sinar Harian juga melaporkan perkara tersebut hari ini, 28 Julai, dimana pihak BPR telah membuat kenyataan meminta Ahmad Said tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan penyelewengan TTI dan Piala Monsun.

Wan Sukairi menjemput para pemuda untuk mengiringi rombongan DPPNT membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi, 29 Julai, 2008.

Beliau berkata tujuan DPPNT membuat laporan polis itu adalah supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut.

“Kerana kedua-dua projek mega yang melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat tersebut memang telah disyakki berlaku penyelewengan berdasarkan beberapa kenyataan Ahmad Said sebelum ini, yang menyebut beliau tidak tahu berapa yang dibelanjakan sebenarnya dalam penganjuran Piala Monsun,”tambah Wan Sukairi.

http://buletinonline.net

Friday, July 25, 2008

PAS konsisten pertahankan prinsip


Friday, 25 July 2008
Oleh : Roslan Shahir

Kebelakangan ini kita banyak melihat PAS khasnya melalui Dewan Pemudanya sering melakukan protes sama ada terhadap kerajaan negeri milik bersama Pakatan Rakyat mahupun kerajaan yang diterajui BN. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi lebih kerap kebelakangan ini.
Terbaru Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan nota bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung konsert yang melibatkan artis Indonesia kontroversial, Inul, yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Sebelum itu Pejabat Daerah Johor Bharu telah membatalkan konsert yang sama yang sepatutnya diadakan di daerah tersebut 19 Julai lalu. Khabarnya Dewan Pemuda PAS Johor adalah antara yang terlibat membantah program itu.

Mengapa penting sangat kita membantah acara-acara ini, sebagaimana Dewan Pemuda Selangor merasakan penting membantah konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam baru-baru ini?

Sudah pastilah ianya kait-mengait dengan asas dan dasar perjuangan kita. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan jelas terpahat kukuh Islam sebagai dasarnya dan Islamlah juga tujuan dan matlamat perjuangannya. Lantaran itu terpikullah atas kepala bahu setiap ahli dan pendukungnya, amanah untuk memastikan yang Islam dalam apa keadaan sekalipun diperjuang, dipertahan dan dipelihara.

Allah SWT berfirman:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104)

Lalu dalam hal ini, PAS lah puak itu, dan tindakan PAS melalui Dewan Pemudanya itu merupakan manifestasi dari pegangan ahli-ahli PAS terhadap ayat ini malah seluruh yang dituntut dan diseru serta dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan oleh Rasul s.a.w. melalui sunnahnya.

Kerana itu PAS tidak boleh berdiam diri dalam isu-isu kemasyarakatan dan negara khasnya yang melibatkan Islam, nasib dan masa depannya. Isu-isu Islam sama ada yang kecil atau remeh sehinggalah yang besar dan yang berkaitan dengan kenegaraan, hukum dan perundangan akan terus diperjuangkan sebagaimana yang ternukil di dalam perlembagaan parti.

Mungkin ada sesetengah pihak merasakan tindakan PAS membuat bantahan terhadap konsert itu sesuatu yang tidak signifikan. Ternyata mereka ini tidak mengenali PAS. PAS sama ada dalam keadaan ia menang besar atau tinggal satu kerusi parlimen, tanpa satu negeri pun yang ditadbir, tetap konsisten dalam usaha-usahanya. Jika tidak ia seolah menggugurkan prinsip dan dasar perjuangannya yang didukung sejak lebih 50 tahun lalu.

Kerana itu sejarah telah membuktikan PAS, sama ada dalam keadaan bersendirian atau bertahaluf dengan pihak lain, tidak pernah sekali-kali bersetuju atau bersedia menggadaikan prinsipnya kerana kemahuan kawan atau tuntutan kuasa. Dalam apa keadaan pun redha Allah adalah lebih penting dari redha manusia dan populariti. Inilah dasar yang dipertahankan oleh para pengasas kita, membawa ke zaman Almarhum Dr Burhanuddin, Almarhum Prof Zulkifli, sehingga ada yang keluar masuk penjara, tercedera hatta syahid di Memali.

Kerana itu PAS akan terus berjalan sama ada bersendirian atau berkongsi kuasa bagi menerokai jalan untuk memungkinkan Islam mendapat ruang dan peluang untuk dilaksana dan dinobatkan. Sesiapa sahaja yang membuka ruang dan peluang itu akan menjadi rakan PAS dan sesiapa sahaja yang mengekang atau menghalangnya akan ditinggalkan oleh PAS.

Kita mahu melihat 50 tahun berikutnya, PAS menempuh era baru dimana dasar dan perjuangannya diberi pengiktirafan dan dihormati serta diterima oleh semua. Itulah perjuangan kita dahulu dan itulah perjuangan kita insya Allah sampai bila-bila. - tajdid

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS.

Thursday, July 24, 2008

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am


KOTA BHARU, 23 Julai

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah). "Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.
"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya. -harakah

Wednesday, July 23, 2008

politik damai


Salam Kamunting,
nik mohamad abduh bin nik abdul aziz

Ramai datang bertanya saya mengenai rundingan PAS-UMNO. Saya jadi laku untuk disoal sebab saya sendiri telah menulis di laman ini mengenainya. Saya menyokong, sedang yang bertanya itu pelbagai. Ada yang datang bertanya sambil membawa kalungan tahniah, ada yang membawa selambak kekeliruan dan yang betul - betul berang dan marah, belum datang lagi walaupun ada yang memang betul - betul berang dan marah dengan tulisan saya.

Bila saya jawab, harapan saya ia menenangkan mereka. Itulah harapan daripada sebuah jawaban. Tapi, siapalah saya untuk menenangkan semua, sedang persoalannya adalah besar. Ia isu terbaru politik semasa walaupun ia bukanlah baru dalam politik Malaysia, apatah politik Islam.

Saya rasa elok untuk dikongsi beberapa persoalan dan jawaban yang merungkai.

1) Bila Islam akan berdaulat di Malaysia dan bagaimana?

Jawaban saya: Bila itu janji Allah. Bila Allah berjanji maka janjiNya adalah benar dan dekat. Dunia ini terlalu dekat dan akhirat itu tidak jauh. Cukuplah bagi seorang mukmin itu sebuah keyakinan yang terpaku di hatinya. Keyakinanlah asas segala pergerakan dan natijahnya.

Bagaimana? Ia berlaku dengan sunnah Allah dan jadualNya. Islam itu milikNya dan kita hanya menikmati perjalanannya. Apabila Allah menghendaki, dijadikan hambaNya yang beriman itu tersedia dengan kekuatan yang cukup, kualiti dan kuantiti, lalu tercetuslah kemenangan yang di nanti.

Kualiti itu mendahului. Ia bermaksud taqwa, ikhlas dan menjadikan ar Rasul sebagai ikutan ( mutaba’at ul Rasul ). Kemudiannya adalah kuantiti. Dihijrahkan ar Rasul sallaLlahu alaihi wasallam demi menyempurnakan tuntutan bilangan yang diperlukan untuk sebuah kemenangan Islam. Dulu satu mampu menewaskan sepuluh. Adapun untuk ummat Nabi akhir zaman, ia memerlukan satu jumlah yang lebih baik ( Rujuk al Anfal:64-65 ).

Bagaimana di Malaysia? Ia sama. Sunnah Allah berjalan. Dalam bicara konteks demokrasi pilihan raya hari ini, Islam akan berdaulat dengan penyempurnaan tuntutan sunnahNya jua.

Kita perlukan undi kualiti. Setiap kita ada satu undi. Tetapi undi seorang ‘Carburator Dung’ untuk PAS tak sama dengan undi seorang tuan guru. Undi tuan guru mengaut ribuan undi pengikutnya. Itulah undi kualiti. Jikalah kita pemilik undi kualiti..

Maka tiadalah jalan untuk perjuangan ini tanpa kehadiran para ulama yang bertaqwa.

Kemudian, kita perlukan undi umat Islam yang ramai. Islam didaulatkan oleh umatnya jua. Tiada dalam sunnah Allah golongan bukan Islam menjadi pendukung kemenangan sebelum umat Islam sendiri. Mereka sekadar membantu. Sesetengah mereka yang dibuka pintu hatinya oleh Allah. Allah memegang hati setiap manusia.

Bangsa Melayulah yang akan memenangkan Islam di Malaysia jika ianya hari ini. Melayu adalah kekuatan Islam. Yang akan memenangkan Islam di Malaysia adalah Melayu PAS, Melayu UMNO dan semua Melayu. Kemudiannya adalah undi muslim bukan Melayu. Undi mereka mungkin lebih berkualiti tetapi bukan pada kuantitinya.

Kemudiannya pula adalah undi bukan Islam. Beberapa individu bukan Islam ( musyrikin ) membantu RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di dalam perjuangan baginda. Di dalam negara kita, akan ada sekelompok bukan Islam yang terpesona dengan Islam dan kecewa dengan sistem lain yang akan membantu Islam. Ramaikah? Mungkin, tetapi ia tak mungkin diimpikan daripada mereka melebihi harapan kepada umat Melayu Islam sendiri.

Gobala mungkin ya, tetapi belum lagi Tian Chua, apatah Xavier Fernandes.

Di Kelantan, Islam tidak menang kecuali sesudah Melayu UMNO dan Melayu atas pagar beralih kepada PAS. Samada mereka mendaftar sebagai ahli PAS atau Allah memaut hati mereka untuk mengundi PAS. Jadilah PAS menang dalam demokrasi berpilihan raya.

Justeru, kemenangan Islam adalah melalui gerakan Islam yang dipimpin ulama ( kualiti ) dengan sokongan bangsa Melayu seramainya.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham mengapa orang UMNO begitu bernilai untuk PAS demi kemenangan Islam.

Jika anda memahami ini, maka anda akan faham bagaimana mendekati UMNO adalah tuntutan yang tidak akan berubah dan pudar.

Jika anda memahami ini, anda akan faham betapa berusaha memecahkan tembok keras UMNO yang memagari dan menutup orangnya daripada didekati adalah tuntutan sepanjang masa.

Jika anda sudah faham, fahamilah bahawa berunding dengan UMNO yang telah membuka pintu itu adalah peluang keemasan untuk memperkenalkan Islam kepada ahli UMNO yang telah lama dikongkong pemikiran mereka.

Saya mengupas dalam konteks kita di dalam sistem demokrasi hari ini. Allah lebih tahu bila dan bagaimana sebenarnya. 1% adalah usaha, 99% adalah tawakkal. Sekelumit kecil daripada kita. Itupun kerana Allah inginkan untuk kebaikan kita. Seagungnya adalah penyerahan segala daya dan upaya kepada Allah jua. Itulah akidah kita para pejuang.

2) Tidakkah UMNO itu ditakuti kejahatan mereka dan disempadani tipu daya dan makar mereka? Apa lagi yang diharapkan daripada mereka selepas mereka sendiri menetang Islam mendahului DAP sendiri?

Jawaban saya: Ya, sejarah kejahatan UMNO siapa boleh mengubahnya? Tipu daya adalah sebahagian kejahatan. Tetapi, adakah penyelesaiannya adalah dengan hanya menjauhinya? Sedang anda memerlukan orang UMNO untuk didekati. Memanggil dari jauh tidak sama dengan memanggil dari dekat. Dari dekat anda mudah didengari dan mudah dikenali.

Adakah kita ini buruk sehingga dijauhi sesudah dikenali atau kita pasti didampingi sesudah dikenali kebaikan kita?

Kemudian, adakah kita sudah begitu lemah untuk berhadapan tipu daya mereka? Mengaku kalah sentiasa selepas perit ditipu berkali - kali. Adakah kita lemah atau bilakah pula kita akan gagah? Tidakkah kita sendiri yang berkata dan berbangga bahawa kitalah lebih kuat hari ini?

UMNO jahat kerana mereka berkuasa. DAP sudah pun tunjuk belang sebelum mereka berkuasa. Mereka tidak pernah menerima sistem Islam. Hanya wujud beberapa individu yang tampak bersedia menerima. Apa beza dengan UMNO? Anda yakin mereka lebih baik? Yakin? Atau itu hanya satu telahan daripada jutaan. Anda kata UMNO sudah terbukti. Saya kata, DAP sudah terbukti. Adakah anda menunggu bukti sesudah mereka berkuasa?

Kemudian, sudahkah anda membaca dan memahami ayat ini ( al Anfal:61-62 ) sejelasnya sebelum anda bermati - matian bertempik - tempik menolak rundingan dan menganggap bodoh terhadap penerima rundingan ( sebagaimana ucapan seorang pemimpin di PUTIK ) ?

Mari saya tuliskan maksudnya: “Dan jika sekiranya mereka ( musuh ) condong untuk berdamai, maka condonglah kamu kepadanya ( terimalah perdamaian ) dan bertawakkallah kepada Allah. sesungguhnya Dialah tuhan yang maha mendengar dan maha menegtahui. Dan jika mereka mahu menipu dayamu, maka cukuplah Allah untukmu ( sebagai pelindung ). Dialah tuhan yang memperkukuhkan engkau dengan pertolonganNya dan dengan orang - orang yang beriman.”

Lebih cemerlang jika anda memahami bagaimana ayat ini menyusul selepas ayat ke 60 dan disusuli ayat 63. Di situ ada keindahan sungguh. Belajar berilmu dan jangan asyik membodohkan orang. Nanti kamu diperbodohkan.

Ayat di atas mudah difahami maksudnya. Tetapi anda akan lebih jelas jika menelaah tafsirnya. Cari dan baca sendirilah. Saya malas nak tulis panjang - panjang.

Kemudian pula, sudahkah anda meneliti dan fana dengan fiqh perjanjian Hudaibiyah di antara ar Rasul dan kaumnya yang musyrikin di Makkah? Jelaskah di kotak faham anda bagaimana demi perdamaian dan keluhuran, ar Rasul memilih penangguhan 10 tahun ( atas kertas perjanjian ) memasuki Kota Makkah dengan kemenangan daripada memilih kemungkinan kemenangan keesokannya melalui serangan dan libasan pedangnya yang perkasa ke atas kota pembukaan itu?

Cerita panjang Hudaibiyah bacalah sendiri. Ada masa saya akan ulas, insya Allah. Sekarang saya malas.

Kita hanya tahu politik perang dengan UMNO. RasuluLlah tahu berperang dan tahu berdamai dengan UMNO Makkah. Baginda mengajar kita politik.

Adakah anda tak nak belajar politik damai sesudah anda mahir politik perang? Nak tak nak? Hah..?

Atau, jika anda mahu menjenguk ke Palestin hari ini, maka di sana ada pelajaran.

Israel itu zalim dan terzalim. Ia membunuh dan membakar. Antara senjatanya, perjanjian damai. PLO seribu kali terperangkap dalam perdamaian. Kemudian datang HAMAS yang lebih baik sebagai pengganti demi perjuangan yang lebih suci.

Adakah HAMAS berkata, NO for peace with Israel? Tidakkan? HAMAS terlibat dengan pertemuan, rundingan dan gencatan senjata dengan Yahudi itu. Bezanya, HAMAS lebih sedia dan lebih cemerlang berbanding PLO dan Fatah sebelumnya. HAMAS pun ditipu, tetapi Israel mengaku HAMAS semakin kuat.

Begitu politik damai!

PAS dan HAMAS, pada perjanjian Hudaibiyah itu adalah ikutan yang baik buat semua pejuang Islam.

Saya tidak akan kata PAS pasti bertambah kuat selepas berdamai dengan UMNO. Saya hanya akan kata, PAS mungkin akan bertambah kuat. Pandai - pandailah pemimpin kita bawa diri. Struktur parti PAS gagah untuk membuat keputusan. Saya yakini.

UMNO tidak akan rugi jika PAS kuat. UMNO hanya rugi jika mereka semakin jauh daripada Islam. PAS untuk semua. PAS untuk UMNO dan PAS untuk bukan Islam juga.

3) Bagaimana dengan PKR? Tidakkah kita diangap pengkhianat? Kita pengkhianat rakyat?

Saya yakin PKR tidak akan dipinggirkan. Salah besar jika PAS meminggirkan PKR. Tetapi salah lebih besar jika PKR meminggirkan Islam. Jika PKR meminggirkan kepentingan Islam, PKRlah yang mengkhianati PAS.

Saya hanya tahu bahawa PAS berkerja sama dengan PKR sesudah wujud persefahaman bahawa PKR, jika diberi kuasa bersama, mereka akan memberi ruang lebih selesa untuk Islam dan menyekat usaha - usaha membantutkan laluan kepada Islam. Itulah yang saya tahu dan itulah yang anda kena tahu kerana itulah siasah syar’ieyah pada segala maksudnya ( maqasid ).

Selepas pilihan raya yang menyaksikan segenggam kuasa telah diberi dan PKR diberi mandat untuk terus memburu kuasa, PAS menuntut satu penegasan semula atas jaminan sebelumnya.

Apakah jaminan untuk Islam yang lebih baik jika bersama PKR? UMNO sudah datang dengan tawaran baru yang tidak pernah dicadangkannya sebelum ini. UMNO datang begitu sebab mereka lemah dan mereka mengaku kita kuat hari ini. Saya yakin tawaran UMNO menggiurkan. Di dalamnya ada madu. Di dalamnya ada racun juga.

PAS perlu mengukur pada pengukur Allah. PAS hanya setia pada satu iaitu Islam. Selagi Islam, PAS tidak akan khianat pada rakyat. Ini, kecualilah rakyat lari daripada Islam. Maka jangan kata PAS khianat. Yang khianat ialah rakyat.

Politik tiada hukum selain siasah syar’ieyah. Siasah syar’ieyah bergerak bagai air yang mengalir. Di mana Islam dijunjung, di situlah ia bertakhta.

Jangan hidup dalam teka teki kehidupan. Teka teki membingungkan. Hiduplah pada yang pasti. Tiada yang pasti selain Islam.

4) Adakah PAS akan bergabung dengan BN?

Dua yang saya tahu dan dua yang saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah pertemuan telah berlaku. Mungkinkah akan wujud persefahaman, saya tak tahu.

Yang saya tahu ialah tiada pernah wujud usaha bergabung dengan BN. Ia jauh sekali dari tuntutan siasah syar’iyah hari ini. Mungkinkah ia berlaku, saya tak tahu.

Saya harapkan persefahaman berlaku demi Islam. Saya tak harapkan penggabungan berlaku. Saya tak nampak baiknya berbanding hodohnya.

5) Tidakkah ahli PAS akan marah jika perdamaian PAS - UMNO berlaku? Bagaimana jika rakyat marah, apatah bukan Islam?

Adakah anda boleh bayangkan ahli PAS akan marah pada pemimpinnya? PAS bergerak dalam kerangka sebuah gerakan Islam. Ia hidup dengan kekuatan sendiri yang tiada dalam parti politik lain. Dengan jaminan seorang ketua dan syura yang ditaati, adalah sukar dibayangkan ahli bangkit melawan.

Marah itu mungkin berlaku. Marah itu tanda sayang. Marah itu akan reda bila datang keredhaan.

Ya, rakyat mungkin marah sesetengahnya. Tapi ia akan diganti dengan yang lain. Rakyat adalah sokongan yang ditagih, tetapi dalam politik ia seperti angin. Ia datang dan ia berlalu. Yang tetap hanyalah daripada yang memahami perjuangan.

Begitulah bukan Islam. Dalam sejarah politik Malaysia, PAS bukan pengkhianat bangsa dan negara, apatah agama.

Monday, July 21, 2008

Muzakarah PAS-UMNO: Usah Terjerat Dengan Kepentingan Duniawi


Oleh GB

Tersentak juga apabila membaca kenyataan media oleh Presiden PAS yang mengakui bahawa telah wujud pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menteri yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu.

Ia merupakan pengesahan kepada dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa muzakarah bersama Pas telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.



Menurut kenyataan media Presiden PAS, perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam, YB Hj Abd Khalid Samad.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Dimaklumkan juga bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

Dan kenyataan media itu pula diakhirkan dengan perenggan berbunyi

"PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. "

Tuan Guru Nk Abdul ziz selaku Mursyidul AM PAS telah memberikan responnya dengan satu peringatan tegas

"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan UMNO, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong."

Meninjau tulisan akhi SP wbemaster TKO,

"Saya lebih suka mengatakan kenyataan Presiden adalah menepati keputusan Syura dan Dewan Harian. Pandangan peribadi saya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersetuju, walaupun majlis bersetuju. Banyak kenyataan media beliau adalah pandangan peribadi beliau sebagai seorang yang lama dalam PAS dan juga Muryidur Am."

Jika GB berada sepejabat dengan SP sewaktu mengendalikan laman TKO ini, ada kemungkinannya berlaku perdebatan atau percanggahan pendapat yang ketara di antara kami berdua - satu keadaan yang sama yang pernah dibaakngkan oleh akhi Din Cryptos seaktu menjadi webmaster TKO ini yang bertangungjawab membawa GB menjadi seorang PWM.

Namun perbezaan pendapat sedemikian perlu dilihat dari sudut yang positif, supaya hasilnya turut positif jugak.

Dan apabila GB menyatakan demikian sepastinyalah pembaca TKO dapat menyelami bahawa memang akan wujud perbezaan pandanan GB dengan pandagan peribadi akhi SP seperti yang di boldkan di atas.

GB adalah penyokong PAS dari generasi zaman sebelum PAS menyertai Barisn Nasional pada tahun 1970 lagi. Dan telah mengikuti perkembangan politik Parti Islam SeMalaysia, aktif bersamanya sehingga kini meskipun di dalam cara yang tersendiri.

OK kembali kepada isu sebenar.

Pertama, di dalam kenyataan media Presiden PAS pada awalnya telah dinyatakan bahawa

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Dimaklumkan juga bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Ironinya, di dalam ayat terakhir kenyataan media Presiden dinyatakan:

"PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. "

Ternyata terdapat perbezaan yang ketara di antara keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang merestui pimpinan PAS bagi mempertingkatkan usaha bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan yang bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia"

Yang saya boldkan itu TIDAK disentuh (tidak direstui?) oleh Majlis Syura Ulamak dan seperti seolah-olah restu Majlis Syura Ulamak dikhianati.

Kedua, di dalam isu sebesar in, pimpinan PAS TELAH menjalankan pertemuan terlebih dahulu kemudian memaklumkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS yang pada sudut pandang saya adalah ternyata silap dari sudut tatacara berorganisasi.

Kerana sepatutnya kebenaran dan restu diperolehi terlebih dahulu SEBELUM sebarang pertemuan dan rundingan oleh mana-mana pimpinan PAS dengan UMNO boleh dilakukan. Tetapi yang berlaku ialah pertemuan dan perundingan telah berjalan, Majlis Syura Ulamak dimaklumkan kemudian.

Jelas peranan Majlis Syura Ulamak dikesampingkan malah dilacurkan pada peringkat awal dan apa juga langkah selepasnya yang diambil oleh pimpinan PAS dengan pembelakangan tersebut adalah terbatal dan perlu ditolak.

Meninjau bagaimana PAS era kepimpinan ulamak dinaikkan saya khuatir perkara yang sama berlaku di dalam muktamar PAS yang akan datang ini.

Ahli-ahli PAS yang terdiri dari kaum muda menjadi indikator dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Dato Asri pada Oktober 1982 dengan slogan PAS di bawah ‘kepimpinan ulama’. Kaum muda PAS dipelopori oleh bekas tokoh ABIM dan pimpinan kelab pelajar Islam di luar negara. Bekas pimpinan ABIM ialah Fadzil Mohd. Nor(Timbalan Presiden ABIM), Abdul Hadi Awang(Pesuruhjaya ABIM Terengganu) lantaran tidak bersetuju dengan gerakan nasionalis-islamis pimpinan Datuk Asri ketika itu.

Dan apakah Ustadz Abdu Hadi akan menerima nasibnya pula setelah cuba untuk menjayakan muzakarah dengan Umno ini dengan alasan untuk kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia?

Seterusnya mengenai kenyataan TG Nik Abdul Aziz. Sebagai seorang Mursyidul AM PAS yang mengetuai Majlis Syura Ulamak, kita hairan bagaimana mungkin beliau tiba-tiba dikesampingkan oleh pimpinan PAS Pusat tatkala membincangkan isu sepenting muzakarah ini?

Terus-terang saya menyatakan di dalam banyak hal keputusan Musryidul Am PAS lebih menepati kebenaran dan telah terbukti berjaya.

(Ingat TG Nk Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen tatkala pemimpin lain semua tewas pada tahun 1982!)

Di dalam banyak isu, PAS Kelantan di bawah TG Nik Aziz lebih dihormati dengan idea-idea yang lebih progresif yang akhirnya dituruti langkahnya oleh Kerajaan Pusat.

Demikian juga di dalam senario politik PRU12 yang lalu, tatkala segala serangan ditumpukan kepada Kelantan. Umum mengetahui, TG Nik Aziz berjaya mengharungi gelombang dasyat tersebut dengan caranya untuk mempastikan kerajaan PAS Kelantan terus kekal di bawah pemerintahan kepimpinan ulamak da hal tersebut gagal dilakukan oleh pimpinan PAS Terengganu yang kini menguasai kepimpinan parti Islam Semalaysia

Apabila ada yang bertanya saya apa kes muzakarah PAS-UMNO ini? Jawapan saya tegas: Ujian Allah untuk mematangkan PAS supaya jangan terjerat sehinga mengutamakan kepentingan duniawi dari ukhrawi!

...sampaikan kebenaran walaupun pahit.

Sunday, July 20, 2008

PAS mengaku bertemu dengan Pendana Menteri


Oleh Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang

PAS tidak menafikan bahawa memang telah ada pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menterti yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan YB Ustaz Nasharudin Mat Isa Timbalan Presiden PAS, Dato' Mustapha Ali, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan YB Hj Abd Khalid Samad ahli parlimen Shah Alam.

Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS.

Berikutan itu Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam.

Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak.

PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa melayu di msia

20 Julai, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

Presiden

Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Thursday, July 17, 2008



PAS Hargai Pertemuan Dengan MB Terengganu - Demi Kepentingan Rakyat
Oleh : WanKay & SM Noor
Wednesday, 16 July 2008


Kuala Terengganu, 16 Julai – PAS menghargai ‘Pertemuan Muhibbah’ yang telah diadakan diantara pimpinan PAS Terengganu dengan Menteri Besar Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Said selaku ketua kerajaan negeri.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata objektif perbincangan terbuka dan secara terus terang yang diadakan adalah untuk kepentingan rakyat dan negeri Terengganu dan bukannya suatu perbincangan politik.
“Perkara utama yang kami (PAS) bincangkan adalah berkaitan dengan royalti minyak,
“(Seperti) yang saudara semua sudah tahu, diumumkan oleh kerajaan Pusat, (royalti) diberi balik kepada kerajaan Terengganu,


“akhbar dan pihak media menyatakan bahawa ‘pengurusan’ wang royalti dikembalikan”. Saya sendiri ada membuat beberapa kenyataan selepas itu, saya kata kalau ‘pengurusan’ tidak menepati kehendak sebenar rakyat Terengganu,”kata beliau dalam sidang media yang diadakan di Wisma Darul Iman, selepas pertemuan muhibbah semalam.

Beliau menegaskan dalam pertemuan itu, Ahmad menjelaskan hasrat beliau juga bukan masalah pengurusan, tetapi hak (royalti) itu dikembalikan.

Justeru menurut beliau Ahmad menyatakan kes mahkamah (tuntutan royalti) masih berjalan pada waktu ini akan diteruskan dan tidak ditarik balik melainkan segala persetujuan bagi kedua-dua belah pihak selesai.

Beliau juga berkata, Ahmad sendiri menyebut tentang rancangan beliau apabila duit royati diterima oleh negeri Terengganu.

Namun demikian apabila ditanya media tentang rancangan Ahmad tersebut, Dato’ Mustafa berkata “ Itu kena tanya dia sendirilah,”tambah beliau.

Selain itu, beliau berkata, pimpinan PAS turut memberi input tentang apa yang seharusnya menjadi fokus kepada perbelanjaan kerajaan negeri berkaitan duit (royalti) yang mungkin bertambah jumlahnya.

“Antara yang kami (PAS) timbulkan adalah soal pendidikan, soal tanah dan perkara berkait dengan kepentingan rakyat,

“berdasarkan apa yang dinyatakan oleh MB itu, kami rasa duit itu disalurkan kepada apa yang menjadi matlamat kami,” ujar Dato’ Mustafa.

Ini adalah menurutnya, negeri Terengganu masih menghadapi masalah kemiskinan, masalah pendidikan dan pengangguran.

“Kami hargailah, respons yang diberikan oleh Menteri Besar Terengganu tetapi dari segi pelaksanaan itu kami (PAS) akan sama-sama memerhatikan,

“Sama ada apa yang disebutkan itu sebenar-benarnya sampai sebagaimana itu, kita sama-sama tengoklah. Setakat hari ini, kita (PAS) terima kasihlah tentang apa yang dijelaskan,” tambah beliau apabila ditanya adakah PAS berpuashati dengan pertemuan tersebut .

Seramai dua belas orang yang terdiri dari Jawatankuasa Dewan Harian PAS Terengganu dan wakil-wakil rakyat PAS hadir dalam pertemuan selama dua jam itu. -buletin online

Wednesday, July 16, 2008

Prestasi luar biasa Petronas sumbang RM62.8 bilion



<15-07-2008 10:40:37 PM

KUALA LUMPUR: Satu catatan prestasi tahun kewangan yang luar biasa oleh Petronas telah membolehkan syarikat minyak negara itu menyumbang RM62.8 bilion kepada perbendaharaan kerajaan persekutuan pada tahun ini.

Presidennya, Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata, prestasi itu bukan sahaja pada harga minyak dan volum jualan yang lebih tinggi malah turut merangkumi penambahbaikan keefisienan operasi dan pengurusan berhemat kumpulan itu.

Bagi tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac 2008, keuntungan pracukai Kumpulan Petronas meningkat kepada RM95.5 bilion, naik 25.2 peratus daripada RM76.3 bilion sebelum ini, manakala keuntungan bersih meningkat kepada RM61 bilion atau 31.5 peratus daripada RM46.4 bilion.

Perolehan melonjak kepada RM223.1 bilion, meningkat 21.2 peratus daripada RM184.1 bilion dalam 2007, di tengah-tengah persekitaran industri minyak dan gas yang kian mencabar, kata Mohd Hassan.

Operasi antarabangsanya, yang merupakan 40.3 peratus daripada perolehan keseluruhan kumpulan, menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan itu bagi pertama kali melepasi eksport, katanya.

Perolehan dari operasi antarabangsa meningkat 33.1 peratus kepada RM90 bilion.
"Ini mencerminkan bukan sahaja peningkatan kepentingan, malah kejayaan kumpulan itu di dalam operasi antarabangsa," katanya.

Mohd Hassan berkata, kebanyakan perolehan antarabangsa datang dari Afrika, yang pertama kali diterokainya dalam 1995, di mana kini akan memberi fokus kepada proses globalisasi.

Sehingga ini, ia terbukti menjadi strategi yang betul dan sumbangan antarabangsa akan menjadi penyumbang utama kepada perolehan kumpulan itu, katanya.

Mengenai pecahan pembayaran kepada kerajaan persekutuan, royalti berjumlah RM4.7 bilion, dividen RM30 bilion, cukai pendapatan petroleum RM20.6 bilion, cukai pendapatan korporat RM5.4 bilion dan duti eksport, RM2.1 bilion, kata Mohd Hassan.
Beliau juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas berkata, daripada dividen RM30 bilion itu, RM6 bilion ialah dividen khas.

Petronas turut membayar keseluruhan RM4.8 bilion dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri Terengganu, Sarawak dan Sabah.
Dengan itu, keseluruhan pembayaran Petronas kepada kerajaan persekutuan dan negeri sejak ia diperbadankan dalam 1974 hingga kini berjumlah RM403.3 bilion, katanya.

Bayaran kumpulan Petronas kepada kerajaan persekutuan bagi tahun ini juga merupakan 44 peratus daripada perolehan kerajaan persekutuan.

Keseluruhan RM67.6 bilion yang dibayar kepada kerajaan bagi tahun ini merupakan 63.1 peratus daripada keuntungan kumpulan Petronas bagi tempoh yang sama.
Dividen khas berkenaan juga dikira selepas Petronas mengambil kira keperluan perbelanjaan modalnya, kata Mohd Hassan, sambil menyatakan ia akan dibayar pada tahun ini.

Petronas, kata Mohd Hassan, mengekalkan hanya 29.9 peratus daripada keuntungannya dalam tahun ini untuk dilabur semula dan baki 7.7 peratus digunakan untuk membayar cukai asing dan kepentingan minoriti.

Pelaburan semula itu perlu untuk memastikan kumpulan itu mengekalkan operasi dan pertumbuhan bagi membolehkannya terus menjana nilai bagi pemegang kepentingannya.
Perbelanjaan modal kumpulan itu bagi tahun ini juga meningkat 33.3 peratus kepada RM37.6 bilion, yang sebahagian besarnya disebabkan peningkatan kos.

Daripada jumlah itu, RM20 bilion dibelanjakan dalam Malaysia, peningkatan 36 peratus berbanding dengan RM14.7 bilion setahun sebelum ini, katanya sambil menyatakan kira-kira 55 peratus daripada perbelanjaan modal keseluruhan kumpulan itu dilakukan bagi sektor eksplorasi dan pengeluaran (E&P).

Kunci kira-kira kumpulan itu terus mengukuh dengan keseluruhan aset meningkat 15.2 peratus kepada RM339.3 bilion manakala dana pemegang saham berkembang kepada RM201 bilion, peningkatan 17.6 peratus.

Mengenai subsidi gas, katanya subsidi Petronas kepada sektor gas meningkat kepada RM19.7 bilion, naik 26.2 peratus daripada RM15.6 bilion sebelum ini.

Katanya subsidi gas kepada sektor tenaga berkembang kepada RM13.8 bilion, naik 17.9 peratus, di mana RM8.1 bilion atau 58.7 peratus disalurkan kepada Pengeluar Tenaga Bebas.

"Harga bahan api yang lebih tinggi telah memaksa sektor bukan kuasa untuk menukar lebih banyak sumber bahan api kepada gas yang disubsidi, yang menyebabkan peningkatan 51.3 peratus dari segi subsidi kepada sektor bukan kuasa kepada RM5.9 bilion," katanya.

Mengenai pembangunan, katanya China akan menjadi pelanggan gas cecair asli (LNG) Petronas mulai tahun hadapan.

Kini, pasaran LNG Petronas di Jepun dan Korea Selatan masing-masing ialah 20 peratus dan 24 peratus. Di Taiwan, agihan pasarannya merosot daripada 43 peratus kepada 35 peratus disebabkan penggunaan lebih rendah pembeli Taiwan.

Di segi rezab, katanya sehingga 1 Jan, 2008, rezab keseluruhan Malaysia turun sedikit kepada 20.13 bilion bersamaan tong minyak (boe) daripada 20.18 bilion boe pada tahun lepas berikutan kemerosotan semakan semula yang rendah rezab gas luar pesisir Sarawak dan pengeluaran lebih tinggi minyak mentah dan gas dalam tahun itu walau pun mendapat tambahan melalui penemuan baru.
BERNAMA

Monday, July 14, 2008

Moga PAS bebas zahirkan perjuangannya


Oleh : Roslan Shahir
Monday, 14 July 2008

Imam al Ghazali pernah berkata: "Agama itu asas dan kerajaan itu pengawalnya. Maka sesuatu yang tiada asas akan tumbang manakala sesuatu yang tanpa pengawal pasti akan hilang".

Justeru itu tidaklah menghairankan apabila dalam wawancara eksklusifnya bersama Harakah baru-baru ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang menyarankan agar sudah tiba masanya bagi Islam diberi peluang untuk dilaksanakan demi melahirkan keadilan dalam negara kita yang tercinta ini.

Ibnu Taimiyyah pernah menulis: "Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu. Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniaya, melakukan jihad, melaksanakan hudud dan berlaku adil dalam manjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan." (as Siayasah as Syariaah)

Tuan Guru Presiden menyebut bahawa PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Lantaran itu dengan dasar dan matlamat perjuangan yang jelas sudah pastilah kemenangan kecil yang dikurniakan oleh Allah swt melalui pilihan raya umum lalu, mendorong PAS untuk bangkit bagi melaksanakan apa yang diperjuangkannya dalam apa sahaja ruang dan kerangka yang dibenarkan.

Memang kemenangan PAS kali ini bertenggek di atas kekuatan bersama melalui gagasan Pakatan Rakyat, namun sebagai rakan yang menurut Tuan Guru Presiden, telah memberikan sumbangan yang besar sehingga terbentuknya kerajaan di negeri-negeri baru selain Kelantan ini, sudah pastilah ruang dan peluang perlu diberikan dan dibuka buat PAS untuk melaksanakan tuntutan perjuangannya. PAS mahukan pengiktirafan dari kawan-kawannya, dan apakah pengiktirafan yang lebih besar bagi PAS selain dibenar menekankan kepada perlaksaan syariat Islam khasnya dikalangan rakyat yang beragama Islam.

Saya yakin dan percaya luahan hati Tuan Guru Presiden PAS ini yang disokong dan didokong oleh seluruh kekuatan jentera dan ahlinya akan didengar dan diberi perhatian oleh rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apa yang disuarakan oleh beliau adalah tuntutan agama yang merupakan asas kuat yang membentuk perjuangan PAS sejak berdekad-dekad yang lalu. Kata Tuan Guru Presiden lagi: Di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Mengizinkan umat Islam melaksanakan apa yang wajib dalam agama mereka sudah pasti selaras dengan Perlembagaan Negara yang menempatkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

PAS telah berkorban dan merupakan penyumbang terbesar kepada kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, melalui kekuatan jentera dan ahli-ahlinya. Walaupun dari sudut bilangan kerusi Parlimen PAS mungkin memegang saham yang terkecil tetapi dari sudut bilangan kerusi dewan undangan negeri PAS memiliki saham terbesar berbanding DAP dan PKR iaitu dengan 83 kerusi diikuti DAP 73 dan PKR 40.

Lantas di peringkat ini padan sangatlah bagi Presiden PAS untuk menuntut laluan bagi rakan-rakan untuk mengizinkan PAS melaksanakan program Islamnya yang pada dasarnya sudah pasti akan menguntungkan Pakatan Rakyat, kerana ia sesungguhnya nanti akan menambat hati dan sokongan dari masyarakat Melayu yang rata-rata beragama Islam.

PAS tidak boleh meninggal atau menggugurkan Islam. Besar atau kecil kemenangannya atau tiada kemenangan langsung, Islam akan terus dijunjung atas kepala bahu setiap ahli dan pejuangnya yang istiqomah.

Benarlah sebagaimana tulisan seorang EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz di dalam blognya: "Mengkhianati rakyat hanya berlaku jika PAS meninggalkan Islam. Selagi PAS bergerak dengan Islam, pengkhianatan tak mungkin berlaku walau ditinggal rakyat seluruhnya dan PAS terpaksa menunggu seratus tahun lagi untuk mendapat sokongan rakyat semula."

Semoga atas semangat Pakatan Rakyat ini PAS akan bebas menzahirkan apa yang ia perjuangkan.

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Tuesday, July 08, 2008

MEMORANDUM KE YDP AGONG


MEMORANDUM KE YDP AGONG
07 July 2008


Berikut adalah salinan Memorandum berkaitan:

Mengadap

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d’Honneur (France), yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.

Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-

1. Surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

2. Laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat.

3. Laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998.

4. Surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.

Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin. Ampun Tuanku. Patik dengan segala hormat takzimnya,

SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008

Kenapa Pemuda PAS Lari Dari Medan PROTES?


Oleh : Herman Samsudeen
Tuesday, 08 July 2008
Himpunan Protes Sejuta Rakyat sudah berlalu, namun lukanya masih terasa. Ramai yang kecewa, tak kurang yang melatah. Kerana ingin menjaga kepentingan tertentu, akhirnya himpunan ini bertukar arah ke Stadium Kelana Jaya. 6 Julai 2008, pasti menjadi satu sejarah hitam bagi dunia Demontrasi. Protes rakyat terhadap minyak bertukar menjadi Protes kepada PROTES itu sendiri.
Kami diperingkat pemuda PAS turut rasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, dan itu semua jelas bukan kehendak kami dan semua penyokong PAS. Sebelum himpunan lagi kami telah berusaha untuk mendamaikan himpunan ini. Biarlah ianya damai dari segala macam pertunjukkan hiburan yang melampau. Kami bertekad untuk boikot dan keluar dari majlis sekiranya terdapat unsur-unsur yang melanggar syariat dan melampau dalam majlis ini.

Atas arahan pimpinan yang bersetuju dengan eksperimentasi berdemo dalam Stadium, kami akur dan turun bertugas. Ramai ahli pemuda dan Unit Amal turun walaupun berat hati menerima arahan ini. Demi taat pada pimpinan dan menjaga hubungan Pakatan Rakyat kami bersedia dibarisan hadapan.

Kami hadir lebih awal tatkala masih ramai pimpinan yang belum hadir kerana sibuk hadiri program lain disana - sini.

Jika dikenang peristiwa Himpunan Bersih dahulu ramai pimpinan yang sampai awal dan berarak bersama rakyat. Duduk dihadapan bersama kami dan mencabar keangkuhan Kerajaan dengan beraninya. Walaupun ditembak dengan gas pemedih mata atau air water cannon yang penuh dengan bahan kimia, kami tak kisah kerana pimpinan sentiasa bersama.

Tetapi kali ini suasananya agak berbeza, ramai kalangan pimpinan tidak serius untuk hadir. Ramai yang datang tapi duduk dibelakang jadi pemerhati. Tak kurang juga kalangan pimpinan yang datang hanya pada sesi-sesi tertentu.

Malah ada yang bernasib malang kerana datang selepas waktu tengahari dimana ketika itu petugas pemuda dan Unit Awal telah tiada. Walaupun dilarang hadir kerana program sudah bercampuk aduk dengan adegan-adegan Syubahat, mereka tetap berkeras untuk hadir. Mungkin mereka rasa mereka boleh kawal suasana.

Tapi pemuda dan Unit Amal sudah tawar hati untuk terus bertugas.

Kenapa kami berundur?

Harapan rakyat terlalu tinggi terhadap penganjur program ini, begitu juga kami. Walaupun suasananya berbeza tetapi kami hadir untuk bertugas. Tetapi bertugas di Stadium berbanding jaga Demontrasi Jalanan adalah dua perkara yang berbeza.

Di Stadium, hanya beberapa pintu sahaja yang dibuka dan para peserta boleh duduk dengan begitu relaks tanpa perlu berasak-asak atau berlari ke sana ke mari kerana di kejar oleh Polis dan FRU.

D Stadium, hanya beberapa Petugas Unit Amal sahaja yang diperlukan untuk bertugas. Yang lain hanya jadi pemerhati dan pemantau bagi memastikan tiada provokasi dari kalangan peserta. Mungkin kerana jumlah yang hadir tidak ramai, maka keadaan lebih mudah dikawal.

Kumpulan pemuda pula berkumpul dipentas utama bagi mengawal audiens yang begitu teruja untuk bertemu dan mendengar ucapan pimpinan.

Secara keseluruhannya keadaan begitu terkawal diperingkat awal walaupun suasana demontrasi yang sebenar langsung tidak terasa. Begitu hambar tanpa gangguan polis, begitu santai bila adanya acara hiburan dan terasa seperti menjaga Ceramah Umum sahaja.

Selepas sesi pagi selesai, tepat pukul 2 petang sudah ramai yang kembali ke rumah kerana kecewa. Demontrasi sudah bertukar kepada konsert dan ceramah sahaja. Yang panas hanyalah cuaca yang membahang disegenap urat kemarahan rakyat.

Acara dimulakan dengan kumpulan gendang dari Hindraf dan kemudiannya kumpulan muzik “lawan tetap lawan” menyambung majlis dengan meraungkan gitar karan mereka. Begitu bingit dengan muzik punk dan underground. Langsung tidak kedengaran butiran lirik yang dinyayikan oleh vokalis kumpulan itu.

Selepas lagu pertama, Sdr. Kamaruzaman naik ke pentas dan menegur penyanyi itu dan minta tukar lagu dan muzik yang lebih sesuai. Sebaik sahaja beliau turun, kumpulan itu mainkan lagu kedua yang lebih ganas lagi.

Petugas pemuda mulai sakit hati, lantas Kamaruzaman menemui Hishamuddin Rais dan beliau berjanji untuk menghentikan persembahan kumpulan itu. Kamaruzaman menekankan bahawa pemuda dan Unit Amal akan menarik diri jika beliau gagal menunaikan janjinya.

Selepas lagu kedua, kumpulan berkenaan meneruskan kepada lagu ketiga dan Hishamuddin tidak berbuat apa-apa.

Suasana menjadi tegang, Petugas Pemuda begitu kecewa kerana segala usaha dan pandangan yang berikan tidak diterima. Sebelum petugas pemuda ‘naik minyak’, Kamaruzaman mengarahkan semua kesemua mereka keluar dari Himpunan itu serta merta.

Tindakkan ini dibuat sebagai menjaga kepentingan dan juga prinsip PAS yang tidak sesekali bekerjasama untuk menganjurkan Konsert yang diluar batasan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara, begitulah kami diajar.

Walaupun tujuan himpunan itu baik, dan lirik lagu itu sesuai tetapi kaedah yang digunakan sudah melampau.

Pandang Lain atas tindakan Pemuda

Ramai pimpinan PAS yang hadir lewat ke program berkenaan kecewa kerana tiada seorang pun Unit Amal yang menyambut mereka atau berkawal menjaga majlis. Hj. Mohamad Sabu yang begitu rapat dengan Unit Amal begitu terasa, Dr. Lo’Lo’ dan Dr. Hatta juga punyai perasaan yang sama.

Tetapi pemuda tetap dengan pendirian dan tidak akan kembali lagi ke situ melainkan dengan arahan Presiden sendiri.

Ramai juga yang bersetuju dengan sikap pemuda dan Unit Amal kerana kejadian ini membuktikan bahawa Pemuda PAS tidak mengikut pemimpin membuta tuli. Kami diajar untuk berdakwah dan dalam masa yang sama kami juga diajar untuk bertindak jika suasana tidak begitu sesuai untuk berdakwah lagi.

Amaran untuk tarik diri itu telah dibuat sebelum program dan perkara itu telah dimaklumkan lebih awal. Kamaruzaman lebih dulu memberikan amaran agar majlis itu hendaklah bebas dari segala macam unsur-unsur hiburan yang melampau. Dakwah telah disampaikan secara berhemah sepanjang mesyuarat dan pertemuan.

Namun bila segala peringatan itu sudah tidak diendahkan, maka Pemuda dan Unit Amal berhak untuk keluar. Bukan lari dari perjuangan dan medan dakwah, kami keluar untuk selamatkan maruah PAS dan Islam. Urusan yang baik tidak boleh dibiarkan bercampur adukkan dengan yang buruk atas nama dakwah.

Jadi diharapkan agar pimpinan yang hadir lewat faham kerana kami lebih dulu berkerja keras untuk hadir lebih awal dan menunaikan usaha dakwah itu secara lebih berhemah tanpa adanya mereka disana lebih awal.

Bukti tindakan pemuda kali ini tepat

Pemuda sememangnya mengambil risiko bila menarik diri dan kami bersedia dihukum jika jelas kami bersalah. Tapi sebelum itu, kami ingin nyatakan bahawa kami tidak sesekali berasa kesal dengan tindakan itu.

Lewat petang itu, kami dimaklumkan oleh teman-teman wartawan bahawa konsert semakin mengila. Penyanyi kumpulan Carburator Dung, Alak telah benjol kat dahi kerana diserang penontont yang marah bila beliau menyanyikan lagu “Mari Jilat Menjilat” sambil londehkan seluar.

Kami juga difahamkan bahawa ketika itu Dr. Hatta dan Dr. lo’Lo’ ada bersama. Tapi mereka juga gagal berbuat apa-apa. Kekecohan itu memang diluar kawalan dan sememangnya pemuda telah menjangkakan perkara itu kerana sikap yang ditunjukkan oleh Hishamuddin diperingkat awal lagi sudah membayangkan perkara itu.

Kami sudah tegur, tapi bila beliau enggan menerima dan bertindak atas teguran itu maka terpulanglah pada beliau untuk berurusan dengan peserta yang hadir.

Pengajaran dari semua ini.

Dalam apa jua urusan, pimpinan wajar mengambil tahu dari awal hingga akhir dan tidak dibebankan hanya kepada kalangan pimpinan tertentu.

Selain itu, dalam apa-apa juga tindakkan kita perlulah berpegang pada prinsip dan tidak sesekali meletakkan prinsip itu ketepi hanya kerana ingin menjaga hati sahabat yang tidak sefikrah dengan kita. Kawan tetap kawan, tapi prinsip tetap dipegang.

Sudah masa, untuk PAS memimpin massa secara lebih beradap dan tidak terikut-ikut suasana. Sama ada PAS menang dan mentadbir atau kalah disemua negeri biarlah Allah yang tentukan. Tugas kita adalah menjaga agamanya, bukannya menyenangkan hati orang-orang yang berkepentingan.

PAS Terima Krititikan Kerana Kegagalan Protes

Perkara ini sudah menjadi lumrah. Apa jua yang PAS lakukan pastinya akan ada kritikkan. Sama ada ia datang dari dalam atau luar. Peristiwa kali ini, harus diambil iktibar dan pimpinan PAS perlu berlapang dada menerima kritikan itu.

Dulu ketika Tok Guru Nik Aziz jemput Mawi, satu negara kecoh. Kali ini ianya pasti lebih kecoh lagi.

Apa pun jua, PAS adalah komponen Protes dan wajar memandang serius perkara ini. Seruan ahli agar Mesyuarat PAS Pusat yang akan datang membincangkan secara serius tentang hal ini wajar diambil kira.

Walaupun Dr. Hatta yang mempengerusikan Protes namun, pimpinan lain yang tidak terlibat harus turut bertanggungjawab. Tanggungjawab ini juga harus dijawab oleh pimpinan yang melepaskan tangan dan tidak ambil tahu tentang aktiviti Protes sebelum ini.

Kita harus layani kritikan ini dengan bekerjasama memperbetulkan keadaan. Kita akui ini kelemahan kita, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak harus terbeban dengan kritikkan yang diterima. Kritikan itu adalah peringkat dari ahli yang tidak punyai kepentingan melainkan ingin melihat parti ini lebih maju kehadapan.

Apa lagi selepas ini.

Lantaran kekecewaan yang begitu mendalam kali ini, InsyaAllah akan ada satu lagi himpunan rakyat untuk membantah kenaikkan harga minyak dan barangan. Seperti kata Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Sdri.Aiman Athirah, perhimpunan 6 Julai itu adalah yang pertama dan terakhir untuk kita berhimpun di Stadium. Selepas ini kita akan berarak dijalan raya.

Itulah yang dituntut oleh rakyat. Dalam suasana yang kian rencam dan ekonomi semakin merundum, rakyat harus diajak keluar ke jalan raya bukannya disumbat ke dalam Stadium hingga menyebabkan Polis pun ketawa kerana memikirkan penganjur sudah takut pada mereka.

Selepas ini, kita akan mobilisasi lagi. Tarikh dan tempatnya akan diberitahu kemudian

Monday, July 07, 2008

Kisah PROTES 2008:Satu Analisa


Assalamualaikum,

Kiriman kali ini mungkin agak panas, walau apapun baca dulu wahai temanku sekalian. Pada aku, perhimpunan 'Protes Sejuta Rakyat'(PROTES) yang diadakan pada hari ini adalah gagal dan hampeh kerana sebab yang banyak. Pertamanya sudah tentu kerana bilangan peserta yang hadir tidak menepati sasaran, bahkan tak sampai 100 ribu orang pon. Dalam hal ini Pakatan Rakyat baik PAS, PKR & DAP kena berlapang dada menerima kenyataan.Walau pun pada sebelah pagi bilangan peserta sudah 5 ribu orang dan pada waktu tengahari pula berjaya mencecah angka 10 ribu orang setelah aku dimaklumkan oleh seorang teman yang berada disana. Malangnya semakin berkurangan pula bilangannya menjelang petang sebaik sahaja acara nyanyian bermula.

Keduanya kerana tempat yang tidak sesuai untuk berdemo. Lebih sesuai untuk buat karnival seperti Jomheboh. Dengan mesej dan Slogan 'PROTES Sampai Turun' sekali pon tidak akan mencapai maksud sekiranya ia sekadar berlegar sesama sendiri didalam stadium. Apa yang kita mahu adalah supaya ianya menjadi Pillars atau pon isu rakyat. Supaya ianya dapat menyentuh sentimen rakyat, paling tidak warga kota yang berada di sekitar ibu kota. Kata temanku, dalam banyak-banyak demo yang pernah disertainya takde lagi jumpe yang macam ni. Lagho2....

Ketiga adalah kerana pengisian program ataupon tentatif yang menyeleweng daripada kehendak sebenar dan agenda PROTES. Semacam yang tertera drp tentatif program tersebut adalah pengisian sebuah program riang-ria bergembira tatkala rakyat menanggung penderitaan kenaikan harga minyak. Aku tahu yang hadir itu pon rakyat juga. Aku percaya bukan itu kehendak peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut kerana rata-rata yang hadir tidak tahu tentatif sebenar himpunan pada kali ini. Tak hairanlah kalau penonton baling botol dan batu kepada band yang biadap di atas pentas. Penganjur seharusnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada hari ini.

Keempat, Organisasi penganjur. Walaupun telah diketahui umum bahawa organisasi tersebut diketuai oleh Dr Hatta Ramli tetapi semacam JK PROTES dikuasai oleh PKR. Kita lihat sahaja keputusan perubahan tempat dibuat didalam mesyuarat di rumah anwar ibrahim. Dan banyak keputusan seperti perubahan tarikh yang menyusahkan peserta untuk hadir di dahului oleh AMK. Mungkin mereka perlu belajar sesuatu iaitu RESPEK.

Kelima, Serahkan pada yang PAKAR. Perkara ini harus diakui oleh PKR bahawa PAS sahaja yang dapat mengawal atau mendisiplinkan peserta himpunan yang ramai sebagaimana yang telah terpahat sejarah didalam Himpunan Aman BERSIH. Walaupun berarak diatas jalanraya dengan jumlah peserta yang ramai, Unit Amal PAS berjaya mengawal dan menangani sebarang tingkah laku dan provokasi yang cuba dicetuskan oleh pihak yang bertanggungjawab. PAS juga berjaya menyatukan masyarakat berbilang Bangsa dan Agama didalam perarakan yang sama. Dan pada hari ini kita melihat 700 Unit Amal telah menarik diri kerana kecewa dengan konsert yang diadakan. Pemuda-pemuda PAS telah dilatih dengan semangat perjuangan yang tinggi disamping akhlak yang telah diajar oleh Rasul junjungan. Bukan ini yang kita mahu. Aku percaya ramai lagi pemuda yang kecewa diluar sana. Seharusnya PAKATAN menunjukkan rasa hormat kepada PAS kerana mereka inilah yang golongan istiqamah didalam perjuangan. Berada di saf yang paling depan didalam demo atau apa saja. Jerit perih berpuluh tahun lalu masih dirasai sepanjang perjuangan PAS dan dengan sebab itu juga PAS tidak akan sesekali bergabung dengan UMNO. Kalau UMNO nak bela nasib bangsa sekalipon, mereka kena masuk PAS. kita tidak akan sesekali menyeberang kesana.

PAS juga selalu bertegas dan berprinsip dalam perkara pokok. Adapun masih ada ruang untuk kompromi dalam masalah-masalah cabangnya. PAS juga tidak penah sesekali gentar dan takut dengan ugutan dan sergahan polis. Aku dapat lihat kekecutan perut PKR apabila polis terbersin.heh.. heh... tengok saja BERSIH suatu ketika dulu. Sebelum perhimpunan sering terpapar didada akhbar dan TV bahawa perhimpunan ini haram, ganas dan sebagainya. Ditambah pula dengan kenyataan polis yang mengugut rakyat supaya tidak hadir sampai tampal poster macam orang PAS plak. Tetapi pemuda dan ahli PAS tetap istiqomah malahan mengajak semakin ramai orang untuk hadir. Kita tidak akan tunduk dan takut dengan ancaman sebegitu walaupun seluruh Jentera Kerajaan dikerah untuk berhadapan dengan kami.

Persoalannya : kenapa aku sendiri tak pergi?
Jawapannya : nak kata bz sangat pon tidak, cuti anytime saja. yang pasti aku tak teruja dari awal lagi akan tentatifnya, sebagaimana yang telah disuarakan oleh Ust Nasharuddin Tantawi.

Sebab yang lain bersama kita fikirkan. Aku tak berkesempatan nak tulis panjang lagi sebab telepon aku asik berbunyi jer dari td. ok, wa chow dulu

Wassalam

Pemuda Bersamamu...

Saturday, July 05, 2008

Kembali Kepada Islam Yang Sebenar


KENYATAAN MEDIA

PEJABAT PRESIDEN

PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)

318A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur

Tel: 03-26925000 Faks: 03-26938399


To : All News Editors

From : Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir
S/U Akhbar Presiden PAS (019 260 1033)

Date : 4th July, 2008

KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SEBENAR
Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya dari membunuh oleh kerana itu kita tidak boleh menyibarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garispanduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat. Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi. Sekiranya tidak ada empat orang saksi maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam. Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah swtr kerana dosa itu termasuk di dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah swt di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad saw dan diperingatkan oleh para ulamak disepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak disaat yang serba mencabar dan meruncing ini.


4 Julai, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

Presiden

Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Friday, July 04, 2008

Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro dan lain-lain.

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf.

( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)


Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)
Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.
Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).


RINGKASAN SYARAT-SYARAT

Qazf mempunyai beberapa syarat :-

1) Syarat kepada penuduh :

Beraqal
Sudah baligh

2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf
Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum,
iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri
(ertinya menuduh isteri berzina).
( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3) Syarat orang yang dituduh

Beraqal
Baligh
Islam
Merdeka diri
BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Malik berkata :

قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،

Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes AL-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)
Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menududh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majority ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.
Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.
Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini. Mungkin si penuduh dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Jun 2008

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...