Pages

Tuesday, July 08, 2008

Kenapa Pemuda PAS Lari Dari Medan PROTES?


Oleh : Herman Samsudeen
Tuesday, 08 July 2008
Himpunan Protes Sejuta Rakyat sudah berlalu, namun lukanya masih terasa. Ramai yang kecewa, tak kurang yang melatah. Kerana ingin menjaga kepentingan tertentu, akhirnya himpunan ini bertukar arah ke Stadium Kelana Jaya. 6 Julai 2008, pasti menjadi satu sejarah hitam bagi dunia Demontrasi. Protes rakyat terhadap minyak bertukar menjadi Protes kepada PROTES itu sendiri.
Kami diperingkat pemuda PAS turut rasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, dan itu semua jelas bukan kehendak kami dan semua penyokong PAS. Sebelum himpunan lagi kami telah berusaha untuk mendamaikan himpunan ini. Biarlah ianya damai dari segala macam pertunjukkan hiburan yang melampau. Kami bertekad untuk boikot dan keluar dari majlis sekiranya terdapat unsur-unsur yang melanggar syariat dan melampau dalam majlis ini.

Atas arahan pimpinan yang bersetuju dengan eksperimentasi berdemo dalam Stadium, kami akur dan turun bertugas. Ramai ahli pemuda dan Unit Amal turun walaupun berat hati menerima arahan ini. Demi taat pada pimpinan dan menjaga hubungan Pakatan Rakyat kami bersedia dibarisan hadapan.

Kami hadir lebih awal tatkala masih ramai pimpinan yang belum hadir kerana sibuk hadiri program lain disana - sini.

Jika dikenang peristiwa Himpunan Bersih dahulu ramai pimpinan yang sampai awal dan berarak bersama rakyat. Duduk dihadapan bersama kami dan mencabar keangkuhan Kerajaan dengan beraninya. Walaupun ditembak dengan gas pemedih mata atau air water cannon yang penuh dengan bahan kimia, kami tak kisah kerana pimpinan sentiasa bersama.

Tetapi kali ini suasananya agak berbeza, ramai kalangan pimpinan tidak serius untuk hadir. Ramai yang datang tapi duduk dibelakang jadi pemerhati. Tak kurang juga kalangan pimpinan yang datang hanya pada sesi-sesi tertentu.

Malah ada yang bernasib malang kerana datang selepas waktu tengahari dimana ketika itu petugas pemuda dan Unit Awal telah tiada. Walaupun dilarang hadir kerana program sudah bercampuk aduk dengan adegan-adegan Syubahat, mereka tetap berkeras untuk hadir. Mungkin mereka rasa mereka boleh kawal suasana.

Tapi pemuda dan Unit Amal sudah tawar hati untuk terus bertugas.

Kenapa kami berundur?

Harapan rakyat terlalu tinggi terhadap penganjur program ini, begitu juga kami. Walaupun suasananya berbeza tetapi kami hadir untuk bertugas. Tetapi bertugas di Stadium berbanding jaga Demontrasi Jalanan adalah dua perkara yang berbeza.

Di Stadium, hanya beberapa pintu sahaja yang dibuka dan para peserta boleh duduk dengan begitu relaks tanpa perlu berasak-asak atau berlari ke sana ke mari kerana di kejar oleh Polis dan FRU.

D Stadium, hanya beberapa Petugas Unit Amal sahaja yang diperlukan untuk bertugas. Yang lain hanya jadi pemerhati dan pemantau bagi memastikan tiada provokasi dari kalangan peserta. Mungkin kerana jumlah yang hadir tidak ramai, maka keadaan lebih mudah dikawal.

Kumpulan pemuda pula berkumpul dipentas utama bagi mengawal audiens yang begitu teruja untuk bertemu dan mendengar ucapan pimpinan.

Secara keseluruhannya keadaan begitu terkawal diperingkat awal walaupun suasana demontrasi yang sebenar langsung tidak terasa. Begitu hambar tanpa gangguan polis, begitu santai bila adanya acara hiburan dan terasa seperti menjaga Ceramah Umum sahaja.

Selepas sesi pagi selesai, tepat pukul 2 petang sudah ramai yang kembali ke rumah kerana kecewa. Demontrasi sudah bertukar kepada konsert dan ceramah sahaja. Yang panas hanyalah cuaca yang membahang disegenap urat kemarahan rakyat.

Acara dimulakan dengan kumpulan gendang dari Hindraf dan kemudiannya kumpulan muzik “lawan tetap lawan” menyambung majlis dengan meraungkan gitar karan mereka. Begitu bingit dengan muzik punk dan underground. Langsung tidak kedengaran butiran lirik yang dinyayikan oleh vokalis kumpulan itu.

Selepas lagu pertama, Sdr. Kamaruzaman naik ke pentas dan menegur penyanyi itu dan minta tukar lagu dan muzik yang lebih sesuai. Sebaik sahaja beliau turun, kumpulan itu mainkan lagu kedua yang lebih ganas lagi.

Petugas pemuda mulai sakit hati, lantas Kamaruzaman menemui Hishamuddin Rais dan beliau berjanji untuk menghentikan persembahan kumpulan itu. Kamaruzaman menekankan bahawa pemuda dan Unit Amal akan menarik diri jika beliau gagal menunaikan janjinya.

Selepas lagu kedua, kumpulan berkenaan meneruskan kepada lagu ketiga dan Hishamuddin tidak berbuat apa-apa.

Suasana menjadi tegang, Petugas Pemuda begitu kecewa kerana segala usaha dan pandangan yang berikan tidak diterima. Sebelum petugas pemuda ‘naik minyak’, Kamaruzaman mengarahkan semua kesemua mereka keluar dari Himpunan itu serta merta.

Tindakkan ini dibuat sebagai menjaga kepentingan dan juga prinsip PAS yang tidak sesekali bekerjasama untuk menganjurkan Konsert yang diluar batasan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara, begitulah kami diajar.

Walaupun tujuan himpunan itu baik, dan lirik lagu itu sesuai tetapi kaedah yang digunakan sudah melampau.

Pandang Lain atas tindakan Pemuda

Ramai pimpinan PAS yang hadir lewat ke program berkenaan kecewa kerana tiada seorang pun Unit Amal yang menyambut mereka atau berkawal menjaga majlis. Hj. Mohamad Sabu yang begitu rapat dengan Unit Amal begitu terasa, Dr. Lo’Lo’ dan Dr. Hatta juga punyai perasaan yang sama.

Tetapi pemuda tetap dengan pendirian dan tidak akan kembali lagi ke situ melainkan dengan arahan Presiden sendiri.

Ramai juga yang bersetuju dengan sikap pemuda dan Unit Amal kerana kejadian ini membuktikan bahawa Pemuda PAS tidak mengikut pemimpin membuta tuli. Kami diajar untuk berdakwah dan dalam masa yang sama kami juga diajar untuk bertindak jika suasana tidak begitu sesuai untuk berdakwah lagi.

Amaran untuk tarik diri itu telah dibuat sebelum program dan perkara itu telah dimaklumkan lebih awal. Kamaruzaman lebih dulu memberikan amaran agar majlis itu hendaklah bebas dari segala macam unsur-unsur hiburan yang melampau. Dakwah telah disampaikan secara berhemah sepanjang mesyuarat dan pertemuan.

Namun bila segala peringatan itu sudah tidak diendahkan, maka Pemuda dan Unit Amal berhak untuk keluar. Bukan lari dari perjuangan dan medan dakwah, kami keluar untuk selamatkan maruah PAS dan Islam. Urusan yang baik tidak boleh dibiarkan bercampur adukkan dengan yang buruk atas nama dakwah.

Jadi diharapkan agar pimpinan yang hadir lewat faham kerana kami lebih dulu berkerja keras untuk hadir lebih awal dan menunaikan usaha dakwah itu secara lebih berhemah tanpa adanya mereka disana lebih awal.

Bukti tindakan pemuda kali ini tepat

Pemuda sememangnya mengambil risiko bila menarik diri dan kami bersedia dihukum jika jelas kami bersalah. Tapi sebelum itu, kami ingin nyatakan bahawa kami tidak sesekali berasa kesal dengan tindakan itu.

Lewat petang itu, kami dimaklumkan oleh teman-teman wartawan bahawa konsert semakin mengila. Penyanyi kumpulan Carburator Dung, Alak telah benjol kat dahi kerana diserang penontont yang marah bila beliau menyanyikan lagu “Mari Jilat Menjilat” sambil londehkan seluar.

Kami juga difahamkan bahawa ketika itu Dr. Hatta dan Dr. lo’Lo’ ada bersama. Tapi mereka juga gagal berbuat apa-apa. Kekecohan itu memang diluar kawalan dan sememangnya pemuda telah menjangkakan perkara itu kerana sikap yang ditunjukkan oleh Hishamuddin diperingkat awal lagi sudah membayangkan perkara itu.

Kami sudah tegur, tapi bila beliau enggan menerima dan bertindak atas teguran itu maka terpulanglah pada beliau untuk berurusan dengan peserta yang hadir.

Pengajaran dari semua ini.

Dalam apa jua urusan, pimpinan wajar mengambil tahu dari awal hingga akhir dan tidak dibebankan hanya kepada kalangan pimpinan tertentu.

Selain itu, dalam apa-apa juga tindakkan kita perlulah berpegang pada prinsip dan tidak sesekali meletakkan prinsip itu ketepi hanya kerana ingin menjaga hati sahabat yang tidak sefikrah dengan kita. Kawan tetap kawan, tapi prinsip tetap dipegang.

Sudah masa, untuk PAS memimpin massa secara lebih beradap dan tidak terikut-ikut suasana. Sama ada PAS menang dan mentadbir atau kalah disemua negeri biarlah Allah yang tentukan. Tugas kita adalah menjaga agamanya, bukannya menyenangkan hati orang-orang yang berkepentingan.

PAS Terima Krititikan Kerana Kegagalan Protes

Perkara ini sudah menjadi lumrah. Apa jua yang PAS lakukan pastinya akan ada kritikkan. Sama ada ia datang dari dalam atau luar. Peristiwa kali ini, harus diambil iktibar dan pimpinan PAS perlu berlapang dada menerima kritikan itu.

Dulu ketika Tok Guru Nik Aziz jemput Mawi, satu negara kecoh. Kali ini ianya pasti lebih kecoh lagi.

Apa pun jua, PAS adalah komponen Protes dan wajar memandang serius perkara ini. Seruan ahli agar Mesyuarat PAS Pusat yang akan datang membincangkan secara serius tentang hal ini wajar diambil kira.

Walaupun Dr. Hatta yang mempengerusikan Protes namun, pimpinan lain yang tidak terlibat harus turut bertanggungjawab. Tanggungjawab ini juga harus dijawab oleh pimpinan yang melepaskan tangan dan tidak ambil tahu tentang aktiviti Protes sebelum ini.

Kita harus layani kritikan ini dengan bekerjasama memperbetulkan keadaan. Kita akui ini kelemahan kita, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak harus terbeban dengan kritikkan yang diterima. Kritikan itu adalah peringkat dari ahli yang tidak punyai kepentingan melainkan ingin melihat parti ini lebih maju kehadapan.

Apa lagi selepas ini.

Lantaran kekecewaan yang begitu mendalam kali ini, InsyaAllah akan ada satu lagi himpunan rakyat untuk membantah kenaikkan harga minyak dan barangan. Seperti kata Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Sdri.Aiman Athirah, perhimpunan 6 Julai itu adalah yang pertama dan terakhir untuk kita berhimpun di Stadium. Selepas ini kita akan berarak dijalan raya.

Itulah yang dituntut oleh rakyat. Dalam suasana yang kian rencam dan ekonomi semakin merundum, rakyat harus diajak keluar ke jalan raya bukannya disumbat ke dalam Stadium hingga menyebabkan Polis pun ketawa kerana memikirkan penganjur sudah takut pada mereka.

Selepas ini, kita akan mobilisasi lagi. Tarikh dan tempatnya akan diberitahu kemudian

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...