Pages

Tuesday, July 08, 2008

MEMORANDUM KE YDP AGONG


MEMORANDUM KE YDP AGONG
07 July 2008


Berikut adalah salinan Memorandum berkaitan:

Mengadap

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, D.K.M., D.K.T., D.K.R., D.M.N., S.U.M.Z., S.S.M.T., S.P.M.T., D.K.(Perlis), D.K. (Johor), D.K.M.B. (Brunei), D.K. (Perak), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Kedah), D.K. (Kelantan), D.K. (Selangor), S.P.M.J., Commandeur de la Legion d’Honneur (France), yang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Seri Paduka Baginda Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafakkan sembah dan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sentiasa berada dalam selamat dan kesejahteraannya.

Adalah dengan ini patik Salahuddin bin Ayub, selaku Ketua, Dewan Pemuda Parti Islam Se Malaysia (PAS) yang mewakili seluruh saf pimpinan dan ahli-ahli parti serta rakyat Malaysia yang menyokong dan bersimpati dengan kami, dengan ini mengangkat sembah mengadu dan membawa ke perhatian Seri Paduka Baginda Tuanku mengenai kemelut politik negara yang semakin tenat dan perlu kepada tindakan segera.

Patik percaya sekalian rakyat amat bimbang dan gusar terhadap suasana perebutan kuasa serta lontaran fitnah dan tuduhan yang melibatkan kredibiliti pihak-pihak paling tertinggi dalam negara.

Patik merujuk kepada pertuduhan-pertuduhan berikut:-

1. Surat akuan bersumpah YM Raja Petra Raja Kamarudin bertarikh 18 Jun 2008 melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor isteri YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Timbalan Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

2. Laporan polis terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertarikh 28 Jun 2008 oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan melibatkan tuduhan liwat.

3. Laporan polis Dato’ Seri Anwar bertarikh 1 Julai 2008 terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara memberi keterangan palsu berhubung beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor pada 20 September 1998.

4. Surat akuan bersumpah P. Balasubramaniam bertarikh 1 Julai 2008 berkenaan tuduhan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan surat akuan bersumpah keduanya bertarikh 4 Julai 2008 yang menarik balik tuduhannya.

Patik berpandangan pada masa ini, oleh kerana terdapat tuduhan langsung terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, serta tuduhan terhadap Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail Peguam Negara maka badan eksekutif negara sudah hilang kelayakan untuk menangani penyiasatan dan pendakwaan dalam kesemua tuduhan dan laporan di atas yang amat berkaitan antara satu sama lain.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun.

Oleh yang demikian, patik merasa terpanggil untuk meminta supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja dapat dibentuk untuk membuat penyiasatan terhadap YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan isterinya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail dalam aduan-aduan tersebut.

Patik sekalian juga memohon agar Seri Paduka Baginda Tuanku menitahkan YAB. Dato' Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Ghani Patail untuk bercuti dari jawatan mereka sehingga selesai penyiasatan oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja.

Ampun Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan doa kehadrat Allah Subhanahu Wataala mudah-mudahan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong dan seluruh kerabat Tuanku sekalian dilanjutkan usia dan berada di dalam kesejahteraan dan kebahagiaan selama-lamanya.

Amin Ya-Rabbal-Alamin. Ampun Tuanku. Patik dengan segala hormat takzimnya,

SALAHUDDIN BIN AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
4 Rejab 1429 / 7 Julai 2008

Kenapa Pemuda PAS Lari Dari Medan PROTES?


Oleh : Herman Samsudeen
Tuesday, 08 July 2008
Himpunan Protes Sejuta Rakyat sudah berlalu, namun lukanya masih terasa. Ramai yang kecewa, tak kurang yang melatah. Kerana ingin menjaga kepentingan tertentu, akhirnya himpunan ini bertukar arah ke Stadium Kelana Jaya. 6 Julai 2008, pasti menjadi satu sejarah hitam bagi dunia Demontrasi. Protes rakyat terhadap minyak bertukar menjadi Protes kepada PROTES itu sendiri.
Kami diperingkat pemuda PAS turut rasa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, dan itu semua jelas bukan kehendak kami dan semua penyokong PAS. Sebelum himpunan lagi kami telah berusaha untuk mendamaikan himpunan ini. Biarlah ianya damai dari segala macam pertunjukkan hiburan yang melampau. Kami bertekad untuk boikot dan keluar dari majlis sekiranya terdapat unsur-unsur yang melanggar syariat dan melampau dalam majlis ini.

Atas arahan pimpinan yang bersetuju dengan eksperimentasi berdemo dalam Stadium, kami akur dan turun bertugas. Ramai ahli pemuda dan Unit Amal turun walaupun berat hati menerima arahan ini. Demi taat pada pimpinan dan menjaga hubungan Pakatan Rakyat kami bersedia dibarisan hadapan.

Kami hadir lebih awal tatkala masih ramai pimpinan yang belum hadir kerana sibuk hadiri program lain disana - sini.

Jika dikenang peristiwa Himpunan Bersih dahulu ramai pimpinan yang sampai awal dan berarak bersama rakyat. Duduk dihadapan bersama kami dan mencabar keangkuhan Kerajaan dengan beraninya. Walaupun ditembak dengan gas pemedih mata atau air water cannon yang penuh dengan bahan kimia, kami tak kisah kerana pimpinan sentiasa bersama.

Tetapi kali ini suasananya agak berbeza, ramai kalangan pimpinan tidak serius untuk hadir. Ramai yang datang tapi duduk dibelakang jadi pemerhati. Tak kurang juga kalangan pimpinan yang datang hanya pada sesi-sesi tertentu.

Malah ada yang bernasib malang kerana datang selepas waktu tengahari dimana ketika itu petugas pemuda dan Unit Awal telah tiada. Walaupun dilarang hadir kerana program sudah bercampuk aduk dengan adegan-adegan Syubahat, mereka tetap berkeras untuk hadir. Mungkin mereka rasa mereka boleh kawal suasana.

Tapi pemuda dan Unit Amal sudah tawar hati untuk terus bertugas.

Kenapa kami berundur?

Harapan rakyat terlalu tinggi terhadap penganjur program ini, begitu juga kami. Walaupun suasananya berbeza tetapi kami hadir untuk bertugas. Tetapi bertugas di Stadium berbanding jaga Demontrasi Jalanan adalah dua perkara yang berbeza.

Di Stadium, hanya beberapa pintu sahaja yang dibuka dan para peserta boleh duduk dengan begitu relaks tanpa perlu berasak-asak atau berlari ke sana ke mari kerana di kejar oleh Polis dan FRU.

D Stadium, hanya beberapa Petugas Unit Amal sahaja yang diperlukan untuk bertugas. Yang lain hanya jadi pemerhati dan pemantau bagi memastikan tiada provokasi dari kalangan peserta. Mungkin kerana jumlah yang hadir tidak ramai, maka keadaan lebih mudah dikawal.

Kumpulan pemuda pula berkumpul dipentas utama bagi mengawal audiens yang begitu teruja untuk bertemu dan mendengar ucapan pimpinan.

Secara keseluruhannya keadaan begitu terkawal diperingkat awal walaupun suasana demontrasi yang sebenar langsung tidak terasa. Begitu hambar tanpa gangguan polis, begitu santai bila adanya acara hiburan dan terasa seperti menjaga Ceramah Umum sahaja.

Selepas sesi pagi selesai, tepat pukul 2 petang sudah ramai yang kembali ke rumah kerana kecewa. Demontrasi sudah bertukar kepada konsert dan ceramah sahaja. Yang panas hanyalah cuaca yang membahang disegenap urat kemarahan rakyat.

Acara dimulakan dengan kumpulan gendang dari Hindraf dan kemudiannya kumpulan muzik “lawan tetap lawan” menyambung majlis dengan meraungkan gitar karan mereka. Begitu bingit dengan muzik punk dan underground. Langsung tidak kedengaran butiran lirik yang dinyayikan oleh vokalis kumpulan itu.

Selepas lagu pertama, Sdr. Kamaruzaman naik ke pentas dan menegur penyanyi itu dan minta tukar lagu dan muzik yang lebih sesuai. Sebaik sahaja beliau turun, kumpulan itu mainkan lagu kedua yang lebih ganas lagi.

Petugas pemuda mulai sakit hati, lantas Kamaruzaman menemui Hishamuddin Rais dan beliau berjanji untuk menghentikan persembahan kumpulan itu. Kamaruzaman menekankan bahawa pemuda dan Unit Amal akan menarik diri jika beliau gagal menunaikan janjinya.

Selepas lagu kedua, kumpulan berkenaan meneruskan kepada lagu ketiga dan Hishamuddin tidak berbuat apa-apa.

Suasana menjadi tegang, Petugas Pemuda begitu kecewa kerana segala usaha dan pandangan yang berikan tidak diterima. Sebelum petugas pemuda ‘naik minyak’, Kamaruzaman mengarahkan semua kesemua mereka keluar dari Himpunan itu serta merta.

Tindakkan ini dibuat sebagai menjaga kepentingan dan juga prinsip PAS yang tidak sesekali bekerjasama untuk menganjurkan Konsert yang diluar batasan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara, begitulah kami diajar.

Walaupun tujuan himpunan itu baik, dan lirik lagu itu sesuai tetapi kaedah yang digunakan sudah melampau.

Pandang Lain atas tindakan Pemuda

Ramai pimpinan PAS yang hadir lewat ke program berkenaan kecewa kerana tiada seorang pun Unit Amal yang menyambut mereka atau berkawal menjaga majlis. Hj. Mohamad Sabu yang begitu rapat dengan Unit Amal begitu terasa, Dr. Lo’Lo’ dan Dr. Hatta juga punyai perasaan yang sama.

Tetapi pemuda tetap dengan pendirian dan tidak akan kembali lagi ke situ melainkan dengan arahan Presiden sendiri.

Ramai juga yang bersetuju dengan sikap pemuda dan Unit Amal kerana kejadian ini membuktikan bahawa Pemuda PAS tidak mengikut pemimpin membuta tuli. Kami diajar untuk berdakwah dan dalam masa yang sama kami juga diajar untuk bertindak jika suasana tidak begitu sesuai untuk berdakwah lagi.

Amaran untuk tarik diri itu telah dibuat sebelum program dan perkara itu telah dimaklumkan lebih awal. Kamaruzaman lebih dulu memberikan amaran agar majlis itu hendaklah bebas dari segala macam unsur-unsur hiburan yang melampau. Dakwah telah disampaikan secara berhemah sepanjang mesyuarat dan pertemuan.

Namun bila segala peringatan itu sudah tidak diendahkan, maka Pemuda dan Unit Amal berhak untuk keluar. Bukan lari dari perjuangan dan medan dakwah, kami keluar untuk selamatkan maruah PAS dan Islam. Urusan yang baik tidak boleh dibiarkan bercampur adukkan dengan yang buruk atas nama dakwah.

Jadi diharapkan agar pimpinan yang hadir lewat faham kerana kami lebih dulu berkerja keras untuk hadir lebih awal dan menunaikan usaha dakwah itu secara lebih berhemah tanpa adanya mereka disana lebih awal.

Bukti tindakan pemuda kali ini tepat

Pemuda sememangnya mengambil risiko bila menarik diri dan kami bersedia dihukum jika jelas kami bersalah. Tapi sebelum itu, kami ingin nyatakan bahawa kami tidak sesekali berasa kesal dengan tindakan itu.

Lewat petang itu, kami dimaklumkan oleh teman-teman wartawan bahawa konsert semakin mengila. Penyanyi kumpulan Carburator Dung, Alak telah benjol kat dahi kerana diserang penontont yang marah bila beliau menyanyikan lagu “Mari Jilat Menjilat” sambil londehkan seluar.

Kami juga difahamkan bahawa ketika itu Dr. Hatta dan Dr. lo’Lo’ ada bersama. Tapi mereka juga gagal berbuat apa-apa. Kekecohan itu memang diluar kawalan dan sememangnya pemuda telah menjangkakan perkara itu kerana sikap yang ditunjukkan oleh Hishamuddin diperingkat awal lagi sudah membayangkan perkara itu.

Kami sudah tegur, tapi bila beliau enggan menerima dan bertindak atas teguran itu maka terpulanglah pada beliau untuk berurusan dengan peserta yang hadir.

Pengajaran dari semua ini.

Dalam apa jua urusan, pimpinan wajar mengambil tahu dari awal hingga akhir dan tidak dibebankan hanya kepada kalangan pimpinan tertentu.

Selain itu, dalam apa-apa juga tindakkan kita perlulah berpegang pada prinsip dan tidak sesekali meletakkan prinsip itu ketepi hanya kerana ingin menjaga hati sahabat yang tidak sefikrah dengan kita. Kawan tetap kawan, tapi prinsip tetap dipegang.

Sudah masa, untuk PAS memimpin massa secara lebih beradap dan tidak terikut-ikut suasana. Sama ada PAS menang dan mentadbir atau kalah disemua negeri biarlah Allah yang tentukan. Tugas kita adalah menjaga agamanya, bukannya menyenangkan hati orang-orang yang berkepentingan.

PAS Terima Krititikan Kerana Kegagalan Protes

Perkara ini sudah menjadi lumrah. Apa jua yang PAS lakukan pastinya akan ada kritikkan. Sama ada ia datang dari dalam atau luar. Peristiwa kali ini, harus diambil iktibar dan pimpinan PAS perlu berlapang dada menerima kritikan itu.

Dulu ketika Tok Guru Nik Aziz jemput Mawi, satu negara kecoh. Kali ini ianya pasti lebih kecoh lagi.

Apa pun jua, PAS adalah komponen Protes dan wajar memandang serius perkara ini. Seruan ahli agar Mesyuarat PAS Pusat yang akan datang membincangkan secara serius tentang hal ini wajar diambil kira.

Walaupun Dr. Hatta yang mempengerusikan Protes namun, pimpinan lain yang tidak terlibat harus turut bertanggungjawab. Tanggungjawab ini juga harus dijawab oleh pimpinan yang melepaskan tangan dan tidak ambil tahu tentang aktiviti Protes sebelum ini.

Kita harus layani kritikan ini dengan bekerjasama memperbetulkan keadaan. Kita akui ini kelemahan kita, tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak harus terbeban dengan kritikkan yang diterima. Kritikan itu adalah peringkat dari ahli yang tidak punyai kepentingan melainkan ingin melihat parti ini lebih maju kehadapan.

Apa lagi selepas ini.

Lantaran kekecewaan yang begitu mendalam kali ini, InsyaAllah akan ada satu lagi himpunan rakyat untuk membantah kenaikkan harga minyak dan barangan. Seperti kata Setiausaha Dewan Muslimat PAS, Sdri.Aiman Athirah, perhimpunan 6 Julai itu adalah yang pertama dan terakhir untuk kita berhimpun di Stadium. Selepas ini kita akan berarak dijalan raya.

Itulah yang dituntut oleh rakyat. Dalam suasana yang kian rencam dan ekonomi semakin merundum, rakyat harus diajak keluar ke jalan raya bukannya disumbat ke dalam Stadium hingga menyebabkan Polis pun ketawa kerana memikirkan penganjur sudah takut pada mereka.

Selepas ini, kita akan mobilisasi lagi. Tarikh dan tempatnya akan diberitahu kemudian

Monday, July 07, 2008

Kisah PROTES 2008:Satu Analisa


Assalamualaikum,

Kiriman kali ini mungkin agak panas, walau apapun baca dulu wahai temanku sekalian. Pada aku, perhimpunan 'Protes Sejuta Rakyat'(PROTES) yang diadakan pada hari ini adalah gagal dan hampeh kerana sebab yang banyak. Pertamanya sudah tentu kerana bilangan peserta yang hadir tidak menepati sasaran, bahkan tak sampai 100 ribu orang pon. Dalam hal ini Pakatan Rakyat baik PAS, PKR & DAP kena berlapang dada menerima kenyataan.Walau pun pada sebelah pagi bilangan peserta sudah 5 ribu orang dan pada waktu tengahari pula berjaya mencecah angka 10 ribu orang setelah aku dimaklumkan oleh seorang teman yang berada disana. Malangnya semakin berkurangan pula bilangannya menjelang petang sebaik sahaja acara nyanyian bermula.

Keduanya kerana tempat yang tidak sesuai untuk berdemo. Lebih sesuai untuk buat karnival seperti Jomheboh. Dengan mesej dan Slogan 'PROTES Sampai Turun' sekali pon tidak akan mencapai maksud sekiranya ia sekadar berlegar sesama sendiri didalam stadium. Apa yang kita mahu adalah supaya ianya menjadi Pillars atau pon isu rakyat. Supaya ianya dapat menyentuh sentimen rakyat, paling tidak warga kota yang berada di sekitar ibu kota. Kata temanku, dalam banyak-banyak demo yang pernah disertainya takde lagi jumpe yang macam ni. Lagho2....

Ketiga adalah kerana pengisian program ataupon tentatif yang menyeleweng daripada kehendak sebenar dan agenda PROTES. Semacam yang tertera drp tentatif program tersebut adalah pengisian sebuah program riang-ria bergembira tatkala rakyat menanggung penderitaan kenaikan harga minyak. Aku tahu yang hadir itu pon rakyat juga. Aku percaya bukan itu kehendak peserta yang hadir ke perhimpunan tersebut kerana rata-rata yang hadir tidak tahu tentatif sebenar himpunan pada kali ini. Tak hairanlah kalau penonton baling botol dan batu kepada band yang biadap di atas pentas. Penganjur seharusnya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada hari ini.

Keempat, Organisasi penganjur. Walaupun telah diketahui umum bahawa organisasi tersebut diketuai oleh Dr Hatta Ramli tetapi semacam JK PROTES dikuasai oleh PKR. Kita lihat sahaja keputusan perubahan tempat dibuat didalam mesyuarat di rumah anwar ibrahim. Dan banyak keputusan seperti perubahan tarikh yang menyusahkan peserta untuk hadir di dahului oleh AMK. Mungkin mereka perlu belajar sesuatu iaitu RESPEK.

Kelima, Serahkan pada yang PAKAR. Perkara ini harus diakui oleh PKR bahawa PAS sahaja yang dapat mengawal atau mendisiplinkan peserta himpunan yang ramai sebagaimana yang telah terpahat sejarah didalam Himpunan Aman BERSIH. Walaupun berarak diatas jalanraya dengan jumlah peserta yang ramai, Unit Amal PAS berjaya mengawal dan menangani sebarang tingkah laku dan provokasi yang cuba dicetuskan oleh pihak yang bertanggungjawab. PAS juga berjaya menyatukan masyarakat berbilang Bangsa dan Agama didalam perarakan yang sama. Dan pada hari ini kita melihat 700 Unit Amal telah menarik diri kerana kecewa dengan konsert yang diadakan. Pemuda-pemuda PAS telah dilatih dengan semangat perjuangan yang tinggi disamping akhlak yang telah diajar oleh Rasul junjungan. Bukan ini yang kita mahu. Aku percaya ramai lagi pemuda yang kecewa diluar sana. Seharusnya PAKATAN menunjukkan rasa hormat kepada PAS kerana mereka inilah yang golongan istiqamah didalam perjuangan. Berada di saf yang paling depan didalam demo atau apa saja. Jerit perih berpuluh tahun lalu masih dirasai sepanjang perjuangan PAS dan dengan sebab itu juga PAS tidak akan sesekali bergabung dengan UMNO. Kalau UMNO nak bela nasib bangsa sekalipon, mereka kena masuk PAS. kita tidak akan sesekali menyeberang kesana.

PAS juga selalu bertegas dan berprinsip dalam perkara pokok. Adapun masih ada ruang untuk kompromi dalam masalah-masalah cabangnya. PAS juga tidak penah sesekali gentar dan takut dengan ugutan dan sergahan polis. Aku dapat lihat kekecutan perut PKR apabila polis terbersin.heh.. heh... tengok saja BERSIH suatu ketika dulu. Sebelum perhimpunan sering terpapar didada akhbar dan TV bahawa perhimpunan ini haram, ganas dan sebagainya. Ditambah pula dengan kenyataan polis yang mengugut rakyat supaya tidak hadir sampai tampal poster macam orang PAS plak. Tetapi pemuda dan ahli PAS tetap istiqomah malahan mengajak semakin ramai orang untuk hadir. Kita tidak akan tunduk dan takut dengan ancaman sebegitu walaupun seluruh Jentera Kerajaan dikerah untuk berhadapan dengan kami.

Persoalannya : kenapa aku sendiri tak pergi?
Jawapannya : nak kata bz sangat pon tidak, cuti anytime saja. yang pasti aku tak teruja dari awal lagi akan tentatifnya, sebagaimana yang telah disuarakan oleh Ust Nasharuddin Tantawi.

Sebab yang lain bersama kita fikirkan. Aku tak berkesempatan nak tulis panjang lagi sebab telepon aku asik berbunyi jer dari td. ok, wa chow dulu

Wassalam

Pemuda Bersamamu...

Saturday, July 05, 2008

Kembali Kepada Islam Yang Sebenar


KENYATAAN MEDIA

PEJABAT PRESIDEN

PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)

318A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur

Tel: 03-26925000 Faks: 03-26938399


To : All News Editors

From : Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir
S/U Akhbar Presiden PAS (019 260 1033)

Date : 4th July, 2008

KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SEBENAR
Berhubung dengan pelbagai fitnah yang tersebar dengan meluas dalam negara kita kebelakangan ini, bagi pihak PAS saya suka menyeru agar semua kita kembali berpaut kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita menegaskan bahawa fitnah adalah lebih merbahaya dari membunuh oleh kerana itu kita tidak boleh menyibarkan sebarang fitnah sewenang-wenangnya. Sesungguhnya Islam meletakkan garispanduan dalam semua perkara tapi malangnya kita sendiri memilih untuk menjauhkan diri daripada ajaran Islam.

Islam dengan jelas mengajar dan menetapkan hukuman yang berkait dengan memfitnah termasuk fitnah zina dan liwat. Seseorang tidak boleh menuduh seseorang yang lain dengan dosa itu melainkan mengemukakan empat orang saksi. Sekiranya tidak ada empat orang saksi maka orang yang menuduh hendaklah dijatuhkan hukuman hudud dan menjadi fasik, dan beliau tidak boleh menjadi saksi lagi.

Di dalam Islam seorang yang dituduh tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan kesalahnnya ataupun orang itu mengaku sendiri dengan rela diri tanpa paksaan yang ia telah melakukan kesalahan tersebut.

Kita mengharapkan masyarakat Islam supaya memelihara akhlak yang diajar oleh Islam ini dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak. Apa yang mendukacitakan gejala ini berlaku dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu yang mengaku beragama Islam. Oleh itu saya menyeru supaya sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan sedemikian rupa hendaklah bertaubat kepada Allah swtr kerana dosa itu termasuk di dalam kategori dosa besar yang diberi amaran keras oleh Allah swt di dalam al Quran dan oleh Nabi kita Muhammad saw dan diperingatkan oleh para ulamak disepanjang zaman.

Saya menyeru ahli-ahli PAS supaya kembali kepada pegangan kita yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS dan menunjukkan contoh yang terbaik kepada semua pihak disaat yang serba mencabar dan meruncing ini.


4 Julai, 2008

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG

Presiden

Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Friday, July 04, 2008

Liwat : Boleh Percaya Atau Tidak ?


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Akhir-akhir ini di sana sini membicarakan persoalan liwat dan politik. Namun di tengah-tengah tuduhan oleh pihak terbabit, ingin saya mengingatkan semua pembaca dan mereka yang mengikuti isu terbaru politik Malaysia ini agar BERAWAS-AWAS. Ia tidak seperti mempercayai tuduhan-tuduhan lain seperti dia agen Yahudi, mereka makan rasuah, amalkan kronisme, pasukan Sepanyol akan menang final Euro dan lain-lain.

Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf.

( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)


Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :

ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة

Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)
Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.

Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)

Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.
Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).


RINGKASAN SYARAT-SYARAT

Qazf mempunyai beberapa syarat :-

1) Syarat kepada penuduh :

Beraqal
Sudah baligh

2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf
Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum,
iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri
(ertinya menuduh isteri berzina).
( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)

3) Syarat orang yang dituduh

Beraqal
Baligh
Islam
Merdeka diri
BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.

Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-

ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء

Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)

Imam Malik berkata :

قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،

Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes AL-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)
Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menududh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majority ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.
Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.
Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini. Mungkin si penuduh dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

29 Jun 2008

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...