Monday, December 21, 2009
Sumbangan Ubati Hiba Mangsa Banjir
TAMAN RAKYAT JAYA – Penderitaan penduduk yang berhadapan kejadian banjir dekat sini baru-baru ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Bagi mereka yang berhadapan situasi itu, kesulitan pasti dirasai.
Walaupun bagi pihak ‘mata yang memandang’ menganggapnya ia bukan satu kejadian bencana besar seperti yang berlaku di negara jiran, namun bagi mangsa yang terpaksa memikul beban, susah payah semasa proses pemindahan, suasana berada di pusat banjir dan kerugian yang dialami selepas kejadian terbabit pastinya meninggalkan trauma buat mereka.
Kehibaan yang dialami pastinya sukar diubati. Namun keprihatinan pihak tertentu yang sudi menjenguk dan bertanya khabar sudah cukup untuk mengubat kehibaan hati mereka.
Lebih bermakna, ia turut disertai dengan sumbangan yang mungkin disifatkan tidak seberapa bagi ‘pihak tertentu’ namun amat bererti bagi mangsa bencana alam ini.
Pas Kawasan Dungun, walaupun tidak mempunyai peruntukan besar, namun kesediaan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dengan kerjasama Lajnah Kebajikan Pas Kawasan turut tampil menganjurkan satu majlis khas penyampaian sumbangan kepada 140 mangsa banjir terlibat.
Asiah Ali, 46, yang turut menerima sumbangan, meluahkan penghargaan atas bantuan diberikan dan menyifatkannya sebagai mesej keprihatinan kepada rakyat yang dilanda kesusahan.
“Terima kasih atas sumbangan yang diberikan, walaupun jumlahnya tidak banyak, namun ia dapat digunakan untuk keperluan keluarga.
“Duit yang diperuntukkan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras dan gula ini boleh digunakan untuk persediaan sekolah anak-anak yang akan tiba tidak lama lagi,” katanya.
Bagi Kamarudin Abdul Rahman, 48, pula, soal jumlah sumbangan tidak menjadi keutamaan baginya, namun apa yang lebih penting adalah keprihatinan seorang pemimpin terhadap rakyatnya yang ditimpa kesusahan.
“Apa yang lebih penting adalah kelibat seseorang pemimpin sewaktu kami ditimpa musibah menjadi salah satu daripada kayu pengukur terhadap perjuangan beliau yang dikatakan mengutamakan rakyat.
“Jadi perkara ini harus dilaksanakan bukan setakat berkempen sewaktu pilihan raya sahaja,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Lajnah Kebajikan Pas Kawasan Dungun, Zakariah Yusuf berharap, mangsa banjir terlibat dapat menghadapi setiap ujian dengan tabah dan penuh rasa keimanan.
Sumber Asal : SINAR HARIAN EDISI TERENGGANU-21 DIS 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment