Pages

Friday, October 17, 2008


Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 08)

Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) yang menjadi acara tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu bakal diadakan di Pantai Pandak, Chendering. Dari aktiviti yang telah disusun, mungkin HIMPIT tahun ini akan menjadi acara meriah seperti konsep HIMPIT dulu-dulu.

Berikut adalah maklumat program, diharapkan semua pemuda Islam Terengganu dapat menyertai HIMPIT kali ini. Tahun lalu HIMPIT 07 di Rusila mencapai sasaran lebih 5,000 pemuda...

Tarikh: 23 - 25 Oktober
Tempat: Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu

Tentatif Program
23 OKTOBER 2008 (KHAMIS)

09.00 – 12.00 Mlm : CERAMAH PERDANA I

* YB Salahuddin Ayub
* Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi
* Ustaz Azman Shapawi bin Abdul Rani
(Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu)

24 OKTOBER 2008 (JUMAAT)

08.00-09.00 pg : PENDAFTARAN PESERTA

09.30-11.00 pg : BICARA PEJUANG

Bersama YB Ustaz Mohd Nor Hamzah (Naib Ketua Pemuda Negeri)
11.15- 12.30 pg : Pembahagian Tapak Khemah

01.00 – 02.00 Ptg : Solat Jumaat & Khutbah Sempena HIMPIT.

02.30 – 06.00 Ptg : PEMUDA PERKASA (Modul KHAS)

Solat Asar Berjamaah
06.00 - 08.30 Mlm : Khidmat Diri
Kuliah Maghrib HIMPIT
09.00 – 12.00 Mlm : CERAMAH PERDANA II

* Hj Mohamad bin Sabu
* YB Hj Mohd Abdul Wahid Endut
* YBM Dr Syed Azman Syed Nawawi
* YB Ustaz Ariffin Deraman



25 OKTOBER 2008 (SABTU)

07.30 - 12.00 Pagi : PEMUDA BERSAMAMU

* LARIAN HIMPIT ‘08
* Bola Sepak Pantai
* Pertandingan Memancing
* Sukan Rakyat
* Rawatan Kesihatan
12.00 : PERASMIAN PENUTUP DAN PEMBAHAGIAN HADIAH

Oleh : Dato Hj. Mustafa Ali
(Pesuruhjaya PAS Terengganu)

Lampiran**

1. Ceramah Perdana I & II
* Kedua-dua ceramah dibuat di tapak HIMPIT.

2. PERKHEMAHAN PESERTA DIURUSKAN OLEH DPP KAWASAN-KAWASAN. (Penganjur hanya menyediakan khemah untuk AJK Program dan Urusetia Program Sahaja

3. Pemuda Perkasa (Modul Khas)

Modul yang menguji ketahanan fizikal dan mental peserta seperti aktiviti pendakian bukit, aktiviti pantai dan lain-lain.
4. Khutbah HIMPIT

Sebanyak empat buah masjid dalam DUN Batu Buruk terlibat untuk khutbah ini.
5. Kuliah Mahrib HIMPIT

Sebanyak 3 buah surau di setiap DUN dalam Kawasan Kuala Terengganu terlibat.
6. Tayangan Video dan Khidmat Kesihatan Percuma (sepanjang program)

7. Pemuda BersamaMu - Penyertaan Larian HIMPIT, Bola Sepak Pantai, Memancing dan Sukan Rakyat hanya kepada peserta program sahaja.

Nota: Apa-apa maklumat, sila rujuk dengan SU Pemuda Kawasan masing-masing.

Wednesday, October 15, 2008

Nashar Yakin Linie Masih Hidup, Kunjungan MTD Rantau Abang di Aidil Fitri Mengurang Kedukaan



Ditulis oleh WanKay
Wednesday, 15 October 2008
Dungun - Sharlinie Mohd Nashar kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun ‘hilang’ sejak 10 bulan lalu, masih gagal ditemui keluarga dan pihak berkuasa.

Namun begitu, bapanya Mohd Nashar Mat Hussain, 30, dari Kampung Padang Pulut, Dungun masih yakin serta mengharapkan anak bongsunya segera ditemui dalam keadaan selamat.

“Naluri hati saya berkata, anak saya masih hidup dan insya’Allah akan saya temui suatu hari nanti.

“Sejak kehilangan Sharlinie, kami sekeluarga belum lagi mendapat apa-apa khabar berita dan laporan dari pihak polis tentang status pencariannya,” ujar Mohd Nashar ketika ditemui Buletinonline, di rumahnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, siang dan malam tidak henti-henti, beliau seisi keluarga terus menerus menunaikan solat hajat dan berdoa kehadrat Allah SWT, agar Sharlinie segera ditemui.

Menurutnya, usaha mencari Sharlinie bukan sahaja dilakukan didalam negeri, malah beliau turut menjalankan usaha mencari Sharlinie telah di luar Negara termasuk seperti ke Surabaya di Indonesia, Bangkok di Thailand dan Myanmar, Burma.

“Kami sekeluarga sudah cari dalam negeri dan pernah hingga ke Surabaya, Bangkok, Myanmar dan dalam masa terdekat sekali lagi akan ke Indonesia.

“Kami pergi pun berdasarkan maklumat terbanyak yang diperolehi dari sumber orang ramai dengan kos sendiri,” jelasnya.

Justeru perasaan kasih sayang beliau sekeluarga terhadap Sharlinie tidak pernah pudar dan akan terus melakukan apa sahaja sekadar termampu.

Tidak ada lagi airmata Ibu Sharlinie, Puan Suraya Ahmad, 29, yang amat sedih dengan kehilangan anak bongsu mereka.

“Saya sudah kering air mata tetapi tetap tidak lupa dengan berdoa dan solat hajat supaya Sharlinie segera ditemui dengan selamat.

“Kami sekeluarga dapat merasakan seolah-olah Sharlinie ada berhampiran dan mengharapkan ‘kepulangan’ dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak melahirkan rasa simpati tetapi ada juga yang mencemuh dengan ungkapan yang menyedihkan kerana cuai serta gagal menjaga anak.
Kakak sepermainan Sharlinie, Sharlina Mohd Nashar, 8, turut menceritakan detik-detik terakhir yang membawa kehilangan adiknya itu.

Katanya, jarak antara taman permainan dengan rumah hanya dalam lingkungan 150 meter dan tragedi sedih itu berlaku ketika pulang selepas bermain.
“Selepas bermain di taman permainan itu saya dan adik hendak pulang ke rumah dan melalui satu lorong.

“Jarak saya dengan adik (Sharlinie) hanya 15 meter dan ketika saya berpaling ke belakang mendapati adik sudah tidak ada (hilang) dan saya ada terdengar bunyi tapak kasut sebelum adik hilang,” jelasnya.

Selepas itu, beliau terus pulang ke rumah dan bertanya kepada ibunya sama ada Sharlinie sudah pulang ke rumah atau belum.
Perkara yang agak terkilan adalah, kehilangan Sharlinie merupakan kes yang dilaporkan pada kadar yang agak segera kepada pihak berkuasa.

Tindakan pantas, melaporkan kepada pihak polis selepas Sharlinie yang tidak pulang dan gagal ditemui dalam masa tiga, tidak membuahkan apa-apa hasil sehinggalah sudah sepuluh bulan, kini.

Rombongan Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang yang diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, sempena Aidil Fitri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kedukaan Nashar sekeluarga.

Rombongan yang turut disertai Ketua Muslimat Dun Rantau Abang, Puan Sarina Lim Abdullah serta para pemuda DUN Rantau Abang telah meluangkan masa bersama keluarga Mohd Nashar kira-kira satu jam.

Menurut Ustaz Azman, Pemuda PAS di seluruh negeri terutama di Lembah Kelang, Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur telah dikerah mencari Sharlinie sebaik sahaja berita kehilangan tersebar luas sepuluh bulan yang lalu.

“Kami (Pemuda) turut sama mengerahkan pemuda-pemuda kita mencari Sharlinie pada waktu itu tetapi gagal ditemui.

“Kita (PAS) cukup bimbang dengan tahap keselamatan rakyat terutama kanak-kanak hari yang terdedah dengan pelbagai kejadian jenayah,” ujarnya selepas kunjungan tersebut.
Beliau turut memberi komen bahawa tahap keselamatan negara ini seolah-olah ‘tidak dalam kawalan’ kerana kegagalan kerajaan mengurus tadbir dengan baik.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat yakin dan berdoa semoga Sharlinie dapat ditemui dengan selamat dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Keluarga Sharlinie kini telah kembali dan menetap di Kampung Padang Pulut, Dungun Terenggan sejak awal Ramadan tahun ini, bagi memulakan hidup baru yang disifatkan Nashar sebagai lebih selamat dan terjamin berbanding kehidupan di kota-kota besar.

Melakar Pelan Amal Jamaei;Merentas saat payah dan Sukar


Dewan Pemuda PAS Pusat

Musibah yang paling besar bagi sebuah Gerakan Islam ialah apabila berlaku kerosakan teruk atau kepincangan ketara pada 5 Rukun Amal Jamaeinya.

5 Rukun inilah yang kami jadikan sebagai peringkat atau marhalah wajib lulus oleh semua individu amilin yang memberi intima' kepada Gerakan Islam ini .

Berfungsi sebagai filter besar untuk menilai tahap kelayakan dan keupayaan bagi seorang amilin menapak ke marhalah/peringkat berikutnya seperti Nuqaba' - Naqibun Nuqaba' - Amir Wilayah - Ahli Majlis Syura - Amir Aam .

5 Rukun yang saya maksudkan ini ialah:

1. Ukhuwwah ( persaudaraan ) ,
2. as Samu'u wat Taa'ah ( dengar dan taat ) ,
3. Iltizam ( komitmen ) ,
4. Tadhiyyah ( pengorbanan )
5. Wala' ( kesetiaan. )

Alhamdulillah , setelah kita melalui tempoh sukar dan payah kini suasana kian stabil dan tenang . Seperti kita mengambil perjalanan yang jauh dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain , pasti sahaja kita akan melalui beberapa selekoh tajam , kawasan kemalangan , bukit tinggi dan jalan berlubang . Keadaan - keadaan itu membuatkan kita dalam situasi berisiko dan tidak mustahil kenderaan kita mengalami hentakkan yang kuat , terbabas ke bahu jalan dan tersasar melepasi garisan tengah.

Keadaan tersebut memberi kesan kepada pemandu atau penumpang . Mungkin dikalangan mereka pening , mabuk dan terhantuk . Sehinggalah kita melepasi kawasan - kawasan sedemikian , lalu memasuki highway atau jalan lurus yang luas dan baik . Namun , berkemungkinan besar kelak dihadapan , sebelum kita sampai ke destinasi yang dituju , masih banyak kawasan berisiko yang terpaksa kita lalui .

Suatu yang sangat penting bagi kita ialah istiqamah dan iltizam ( komitmen ) . Janganlah kerana halangan dan risiko sedemikian , maka kita tidak meneruskan perjalanan atau membatalkannya sebaliknya sabar menghadapi saat susah dan payah demi sampai ke destinasi dengan jayanya.

Demikianlah pengajaran yang perlu kita ambil sewaktu mengenderai perjuangan besar ke arah mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini . Banyak mehnah dan ibtila' yang pastinya mendatang risiko tinggi kepada para pejuang . Samaada halangan dan cabaran itu datang dari luar atau dalam , ianya menjadi sunnatullah yang suka atau tidak terpaksa dilalui oleh para pejuang.

Istiqamah , iltizam dan sabar menghadapi mabuk dan pening sementara kita melalui saat susah dan payah perjuangan ini menjadi sebahagian syarat untuk kita mencapai kejayaan dalam memikul beban amanah perjuangan suci ini .

Firman Allah swt :

قال قد أجيب دعوتكما فاستقيما و لا تتبعان سبيل الذين لا يعلمون

Telah berfirman ( ALlah swt ) Sesungguhnya aku memustajabkan doa kamu berdua ( Musa dan Harun Alaihimassalam , maka beristiqamahlah dan jangan kamu berdua mengikut jalan orang - orang yang tidak mengerti .
Surah Yunus : Ayat .89

Istiqamah dengan maksud tetap pendirian dengan ketulenan perjuangan dan aktif menggerakkannya dengan tidak mengalah sekalipun perit dan getir menerima musibah di sepanjang perjuangan .
..... dan tidak mengikut haluan atau arah tuju yang menyimpang dari jalan Allah swt. semata - mata kerana terpesona dengan silauan mata benda dunia atau keliru dengan papan tanda arah .

Dewan Pemuda PAS Pusat telah mengamati pengalaman yang telah kita lalui semalam . Ternyata hari ini kita sangat wajar ( semua anggota Dewan Pemuda ) mempelajari penegasan Allah swt agar kita Istiqamah dan jangan pula kita ubah haluan perjuangan suci ini .

Antara yang sangat mahal dan tinggi nilainya ialah ukhuwwah fillah dikalangan kita . Alhamdulillah saya melihat , biar pun kita mempunyai perbezaan pandangan dalam banyak perkara namun tidak mengheret kita ke kancah pertelingkahan dan perbalahan yang mazmum ( keji ) .

Kebiasaan Dewan Pemuda PAS Pusat , sejurus selesai mesyuarat bulanan , semua exco akan makan tengahari bersama dan solat zuhur berjamaah . Kami juga bersalam - salaman penuh mesra meski pun terus mengutara pandangan yang berbeza dan mencongak strategi yang tidak serupa .

Pun begitu , tidaklah banyak sangat perkara yang berbeza dalam pandangan antara kami para exco DPPP sebagaimana tidak juga banyak congakan yang tidak serupa dalam strategi . Kami sering dapat mencari kata sepakat setelah lama berbincang dengan dada lapang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain .

Mungkin ini juga berkat bacaan al mathurat dan doa rabitah yang di baca setiap kali memulakan mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat . Kalau ada yang nak berbalah pun , hatinya tak sampai untuk berbuat demikian . Kalau ada yang nak bertelingkah pun , jiwa tidak gamak untuk pergi jauh sehingga memutuskan persaudaraan yang dibina .

Akhirnya , salam dan senyum manis menyimpul segalanya . Kita tidak kemana selagi 5 rukun Amal jamaei ini tidak mengalami kerosakan teruk dan kepincangan yang ketara .

Yb Salahudin Ayub selaku Ketua Pemuda dalam mesyuarat yang lepas telah menasihati semua anggota pemuda agar tidak menjadi seperti harimau yang hanya tahu memanjat tetapi tidak tahu turun . ( dengan maksud jangan kita hanya tahu berbalah tetapi tidak untuk kembali berbaik atau damai )

Tuesday, October 07, 2008

Manhaj Rabbani :


Manhaj Rabbani :

Menangani Informasi Negatif

Sesama Anggota Jamaah

(Apatah lagi antara ahli dengan kepimpinan)

Posted by Abu Amirah As-Salimbari

Pilu rasanya apabila melihat ahli-ahli saling meremeh, merendahkan, menyindir dan menempelak antara satu sama lain atas isu-isu yang mereka sendiri pun tidak beberapa jelas.... Lebih menyedihkan apabila ada ahli dan kepimpinan bawahan turut terjebak dalam memperlekeh, merendah dan meremehkan kepimpinan atasan jamaah atas isu-isu yang mereka sebenarnya juga tidak berapa jelas dan pasti hakikatnya!

Marilah kita kembali kepada akhlak Islam dalam menanganinya dengan meletakkan – kelapangan hati, kerendahan jiwa, kemaafan, husnuz zon (sangka baik), kasih sayang, thiqah, kepercayaan dan tuntutan ukhuwwah – sebagai asas terpenting mendahului segala-galanya.. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur ayat 11-16, mafhumnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari segolongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahwa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. [11]

Mengapakah di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berprasangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata?! [12]

Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu?! Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta. [13]

Sekiranya tidak ada karunia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di dunia dan di akhirat, niscaya kamu ditimpa azab yang besar, karena pembicaraan kamu tentang berita bohong itu. [14]

(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar. [15]

Dan mengapa kamu tidak berkata, di waktu mendengar berita bohong itu : Sekali-kali tidaklah sepatutnya bagi kita memperkatakan hal seperti ini. Maha Suci Engkau (Ya Tuhan kami), ini adalah dusta yang amat besar.”[16]

Secara ringkasnya, beberapa panduan Rabbani dapat kita rujuk dari peristiwa Ifk (peristiwa fitnah ke atas Aisyah r.a., isteri Nabi s.a.w. dengan seorang sahabat) tersebut :

1. Tidak Mencari-Cari Keburukan & Menyebarkan Isu

Ada di antara ahli jamaah dan kepimpinan kadang-kadang ditimpa bencana memiliki hati yang berpenyakit. Mereka ini amat suka mendengar, memberi perhatian dan mencari-cari keburukan-keburukan sesama anggota.

Seronok kerana kononnya memiliki banyak rahsia buruk ahli jamaah maupun pimpinan dan merasa bangga apabila boleh menceritakannya kepada orang lain. Merasa diri hebat sebab boleh bercerita tentang keburukan pimpinan itu, kelemahan pimpinan ini, kesilapan ahli itu, kejahatan ahli ini dan sebagainya. Lebih seronok lagi jika ceritanya itu mendapat sambutan dan bilangan pelawat blog-nya semakin meningkat.

2. Berprasangka Baik dan Berusaha Melihat Sisi Positif

Salah satu sikap yang mesti dimiliki oleh anggota jamaah dalam hubungannya sesama ahli atau kepimpinan ialah sikap ber-husnuzon (berprasangka baik) kepada saudara kita sesama mu’min – siapa pun dia dan dari kelompok apapun mereka - sepanjang ia atau mereka dikenal keikhlasannya dan perjuangannya untuk Islam dan meninggikan kalimatulLah. Lihatlah kesilapan dan kelemahan yang berlaku dari sisi yang positif agar dapat memelihara hati kita dari kotor dan prasangka.

Kemungkinan pimpinan tersebut tersilap, tapi mungkin dalam situasi tersebut hanya itulah pilihan yang terbaik yang ada menurut pendapatnya. Kita berusaha semampu mungkin bersangka baik bahawa tindakan-tindakan tidak popular yang diambil oleh sesetengah pimpinan kita tersebut datangnya dari jiwa mereka yang ikhlas dan cinta kepada perjuangan. Cuma, tindakan tersebut mungkin bukanlah yang terbaik. Apakah berbaloi kita mencemuh kesilapan tersebut sampai berlebihan meremehkan keikhlasan dan kecintaan mereka terhadap perjungan???

3. Berlapang Dada Terhadap Kesilapan & Bersikap Pemaaf

Mana-mana ahli atau kepimpinan jamaah adalah kumpulan manusia yang pasti tidak terkecuali dari tersilap atau melakukan kesilapan. Setiap ijtihad, pandangan dan pendekatan strategic, tetap terdedah kepada kesilapan sebagaimana perkataan Imam Asy-Syafi’i rahimahulLah ;

“Ra’yi shawaab walakin yahtamilul khatha’ wa ra’yu ghairi khatha’ walakin yahtamilush shawaab

(pendapatku benar tapi mungkin saja salah, dan pendapat selainku adalah salah tapi mungkin saja benar).

Kepimpinan peringkat mana pun mereka tetap terdedah kepada kesilapan. Walaubagaimana pun, air yang banyak melimpah lebih dari dua kolah tidak terjejas dengan sedikit najis yang jatuh ke dalamnya. Kesilapan kecil yang dilakukan oleh kepimpinan tersebut tidaklah sepatutnya menjejaskan segala jasa baktinya, sumbangan tenaga dan pengorbanan yang melimpah ruah, kesetiaan dan segala kelebihan yang dimiliki yang melayakkan dia duduk di level tersebut…

4. Jangan Memandang Remeh Budaya Penyebaran Isu Liar

Menganggap sinis dan membiarkan isu-isu liar tersebar di kalangan anggota jamaah hanya akan melukakan ukhuwwah islamiyyah, mencarik rasa hormat sesama sendiri, menebalkan sikap kepuakan, memecah belahkan saff perjungan dan boleh melemahkan organisasi jamaah. Jamaah yang lemah ini akan semakin hilang upayanya untuk menanggung beban perjuangan yang berat dan semakin mencabar!

Bayangkan saudara.. dalam kesibukan kita dengan sepak terajang politik bersama segala seninya, rancak bermuqabalah untuk mengajak orang lain bersama kita, bercita-cita mengambil alih kuasa... isu-isu yang cukup mendasar sepenting UKHUWWAH ini pun masih banyak yang belum selesai... mampukah bangunan jamaah ini menanggung beban yang semakin bertambah, kalau bata-batanya binaannya masih tidak diikat dengan kuat dan tersusun kukuh?

Tuesday, September 23, 2008

JADIKAN PAS TEMPAT BERNAUNG



Oleh Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS

Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada di dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat , yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan perlaksanaan pembangunan ekonomi negara

Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan Barisan Nasional ( BN ) yang diterajui UMNO untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormati . UMNO yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang melayu di awal penubuhannya , kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah ummat Islam dan orang melayu terbela .

Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan UMNO seolah - olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah percubaan UMNO untuk mengalih masaalah yang berlaku dikalangan parti kompenan BN pada ketika ini .

Sehubungan itu , Parti Islam Se Malaysia ( PAS ) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS sebagai parti tempat bernaung .

PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit , tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya , maka PAS percaya bahawa orang - orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli - ahli UMNO beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah .

Sebagaimana yang telah dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke 54 yang lalu dengan tema PAS UNTUK SEMUA , bahawa sebenarnya perjuangan PAS kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan aqidah perjuangan yang jelas .

PAS bukannya sebuah parti politik semata - mata , tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah . Perjuangan PAS adalah bersifat universal untuk seluruh umat manusia , membawa keadilan sejagat sebagaimana termaktub dalam Bab ketiga , Fasal 6 , Perkara ( 8 ) , ( 9 ) dan ( 10 ).

Perlembagaan PAS , di mana usaha - usaha PAS ialah :

1. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai - nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran - ajaran Islam .

2. Memperjuangakan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini .

3. Menyertai dan bekerjasama dengan bangsa - bangsa bersatu dan badan - badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak - hak asasi manusia serta menghapuskan segala macam kezaliman , kepalsuan , perhambaan dan penindasan dikalangan umat manusia .

Bertitik tolak dari hakikat ini , maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh UMNO ini .

PAS percaya bahawa ahli - ahli dan pimpinan UMNO ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS . Marilah bersama - sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang .

Marilah bersama - sama menyertai PAS.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...