Pages

Wednesday, October 15, 2008

Nashar Yakin Linie Masih Hidup, Kunjungan MTD Rantau Abang di Aidil Fitri Mengurang Kedukaan



Ditulis oleh WanKay
Wednesday, 15 October 2008
Dungun - Sharlinie Mohd Nashar kanak-kanak perempuan yang berusia empat tahun ‘hilang’ sejak 10 bulan lalu, masih gagal ditemui keluarga dan pihak berkuasa.

Namun begitu, bapanya Mohd Nashar Mat Hussain, 30, dari Kampung Padang Pulut, Dungun masih yakin serta mengharapkan anak bongsunya segera ditemui dalam keadaan selamat.

“Naluri hati saya berkata, anak saya masih hidup dan insya’Allah akan saya temui suatu hari nanti.

“Sejak kehilangan Sharlinie, kami sekeluarga belum lagi mendapat apa-apa khabar berita dan laporan dari pihak polis tentang status pencariannya,” ujar Mohd Nashar ketika ditemui Buletinonline, di rumahnya, baru-baru ini.

Beliau berkata, siang dan malam tidak henti-henti, beliau seisi keluarga terus menerus menunaikan solat hajat dan berdoa kehadrat Allah SWT, agar Sharlinie segera ditemui.

Menurutnya, usaha mencari Sharlinie bukan sahaja dilakukan didalam negeri, malah beliau turut menjalankan usaha mencari Sharlinie telah di luar Negara termasuk seperti ke Surabaya di Indonesia, Bangkok di Thailand dan Myanmar, Burma.

“Kami sekeluarga sudah cari dalam negeri dan pernah hingga ke Surabaya, Bangkok, Myanmar dan dalam masa terdekat sekali lagi akan ke Indonesia.

“Kami pergi pun berdasarkan maklumat terbanyak yang diperolehi dari sumber orang ramai dengan kos sendiri,” jelasnya.

Justeru perasaan kasih sayang beliau sekeluarga terhadap Sharlinie tidak pernah pudar dan akan terus melakukan apa sahaja sekadar termampu.

Tidak ada lagi airmata Ibu Sharlinie, Puan Suraya Ahmad, 29, yang amat sedih dengan kehilangan anak bongsu mereka.

“Saya sudah kering air mata tetapi tetap tidak lupa dengan berdoa dan solat hajat supaya Sharlinie segera ditemui dengan selamat.

“Kami sekeluarga dapat merasakan seolah-olah Sharlinie ada berhampiran dan mengharapkan ‘kepulangan’ dalam masa terdekat ini,” ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak melahirkan rasa simpati tetapi ada juga yang mencemuh dengan ungkapan yang menyedihkan kerana cuai serta gagal menjaga anak.
Kakak sepermainan Sharlinie, Sharlina Mohd Nashar, 8, turut menceritakan detik-detik terakhir yang membawa kehilangan adiknya itu.

Katanya, jarak antara taman permainan dengan rumah hanya dalam lingkungan 150 meter dan tragedi sedih itu berlaku ketika pulang selepas bermain.
“Selepas bermain di taman permainan itu saya dan adik hendak pulang ke rumah dan melalui satu lorong.

“Jarak saya dengan adik (Sharlinie) hanya 15 meter dan ketika saya berpaling ke belakang mendapati adik sudah tidak ada (hilang) dan saya ada terdengar bunyi tapak kasut sebelum adik hilang,” jelasnya.

Selepas itu, beliau terus pulang ke rumah dan bertanya kepada ibunya sama ada Sharlinie sudah pulang ke rumah atau belum.
Perkara yang agak terkilan adalah, kehilangan Sharlinie merupakan kes yang dilaporkan pada kadar yang agak segera kepada pihak berkuasa.

Tindakan pantas, melaporkan kepada pihak polis selepas Sharlinie yang tidak pulang dan gagal ditemui dalam masa tiga, tidak membuahkan apa-apa hasil sehinggalah sudah sepuluh bulan, kini.

Rombongan Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang yang diketuai oleh Pengerusinya, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani, sempena Aidil Fitri sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kedukaan Nashar sekeluarga.

Rombongan yang turut disertai Ketua Muslimat Dun Rantau Abang, Puan Sarina Lim Abdullah serta para pemuda DUN Rantau Abang telah meluangkan masa bersama keluarga Mohd Nashar kira-kira satu jam.

Menurut Ustaz Azman, Pemuda PAS di seluruh negeri terutama di Lembah Kelang, Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur telah dikerah mencari Sharlinie sebaik sahaja berita kehilangan tersebar luas sepuluh bulan yang lalu.

“Kami (Pemuda) turut sama mengerahkan pemuda-pemuda kita mencari Sharlinie pada waktu itu tetapi gagal ditemui.

“Kita (PAS) cukup bimbang dengan tahap keselamatan rakyat terutama kanak-kanak hari yang terdedah dengan pelbagai kejadian jenayah,” ujarnya selepas kunjungan tersebut.
Beliau turut memberi komen bahawa tahap keselamatan negara ini seolah-olah ‘tidak dalam kawalan’ kerana kegagalan kerajaan mengurus tadbir dengan baik.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Pusat yakin dan berdoa semoga Sharlinie dapat ditemui dengan selamat dan kembali ke pangkuan keluarganya.

Keluarga Sharlinie kini telah kembali dan menetap di Kampung Padang Pulut, Dungun Terenggan sejak awal Ramadan tahun ini, bagi memulakan hidup baru yang disifatkan Nashar sebagai lebih selamat dan terjamin berbanding kehidupan di kota-kota besar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...