Pages

Saturday, February 25, 2012

PAS : 10 Tahun Akan Datang

1. PAS adalah sebuah parti yang kukuh dengan prinsip perjuangan yang bertunjangkan Islam. Sebagaimana kukuhnya Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt maka begitulah kukuhnya prinsip perjuangan yang dipangku oleh PAS menongkah 1001 macam halangan, rintangan dan cabaran sejak hari tubuhnya.

2. Meredah masa depan, selama PAS berpegang teguh dengan perjuangan Islam, ia tetap unggul biarpun menggapai usia 100 tahun lagi justeru Islam adalah agama dari Allah swt yang sesuai sepanjang zaman sehinggalah dunia digulung kiamat kelak.

3. Sebagai sebuah Gerakan Islam, PAS adalah alternatif untuk menggagas masa depan negara yang sejahtera, menepati sebuah pemerintahan good governence, bebas korupsi dan diredhai oleh Allah swt. Dunia semakin kosong dan gersang tanpa Islam sebagai petunjuk Allah swt. Inilah yang difirmankan oleh Allah swt :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

4. Menyedari harapan ini, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan ummah mesti dipersiapkan agar hadhir dan tampilnya menepati tuntutan semasa. PAS selayaknya mula menguasai polisi ke arah mempersiapkan dirinya untuk menjadi kerajaan yang mengurus tadbir negara, bukan lagi terjerat dalam kelompok pembangkang yang hanya tahu membangkang tanpa solusi yang efektif.

5. Bermula dengan menyusun saff kepimpinan parti yang terdiri dari kalangan figure mampu dan layak menggalas amanah kepimpinan, bukan sahaja kepimpinan parti tetapi juga kepimpinan negara. Andai sukar untuk memiliki figure kepimpinan sedemikian, mungkin juga boleh mengambil kaedah 2 line up kepimpinan, iaitu kepimpinan yang mengurus parti dan satu lagi ialah kepimpinan yang mengurus negara. Namun kedua - dua line up kepimpinan berada di dalam satu majlis pemesyuaratan parti.

6. Usaha pengkaderan mesti kemas dan diberi perhatian utama oleh parti untuk melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang komited dengan dasar perjuangan sekaligus mampu mendokong aspirasi parti. Parti mesti bijak serta pantas mengurus masaalah, konflik dan tekanan agar tidak membuang terlalu banyak masa melayan karenah masaalah atau konflik yang timbul sedang perkara fundamental seperti melahirkan anggota dan kepimpinan parti yang berkualiti tinggi terabai.

7. Menuju cabaran 10 tahun akan datang, antara lain PAS perlu menumpukan kepada 2 skim kualiti.

Pertama kualiti pada figure samaada anggota atau pemimpin yang mampu serta layak menyandang amanah di mana posisi ia ditugaskan. Bukan figure yang hanya melakar publisiti melalui kepetahan berpidato tetapi lemah dalam tindakan.

Kedua ialah kualiti pada organisasi dan penstrukturannya agar dilihat lebih kemas, sistematik dan menepati piawaian sebuah organisasi moden yang mampu menangani saingan gerakan semasa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...