Pages

Tuesday, January 12, 2010

Merosakkan Gereja Perbuatan Melampau

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS menyifatkan serangan terhadap gereja di ibu negara kelmarin, sebagai tindakan provokasi
daripada pihak tertentu agar isu penggunaan kalimah Allah oleh agama lain menjadi lebih tegang.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, insiden itu dianggap melampau dan orang Islam dilarang memusnahkan ataupun merosakkan rumah ibadat agama lain sebagai cara menghormati mereka.

Menurutnya yang turut mengutuk serangan berkenaan, sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan baik dan berkesan, beliau bimbang wujudnya persepsi ataupun pandangan negatif agama lain terhadap Islam.

“Kita juga bimbang penganut agama Kristian akan melakukan serangan balas terhadap masjid sehingga timbulnya masalah perkauman. Justeru, pihak berkuasa harus menyiasat, cari siapa sebenarnya terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tiga insiden membaling bom buatan sendiri di tiga gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara.

Azman Shapawi berkata, insiden itu menunjukkan isu membenarkan agama lain menggunakan kalimah Allah semakin buruk apabila wujudnya percubaan melaga-lagakan kedua-dua agama supaya bertelagah sesama sendiri.

“Apa pun kita berpendapat, perkara ini boleh diselesaikan di luar mahkamah asalkan adanya perbincangan daripada pihak Islam dan Kristian.

“Menyedari hakikat ini, Pas akan mengadakan dialog dengan paderi Kristian mengenai agama dan dengan usaha ini diharap, tidak ada lagi gangguan terhadap Islam, selain menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...