Pages

Friday, September 11, 2009

LAILATUL QADAR......


petikan dari http://dupnt.blogspot.com

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al Quran) pada malam al Qadar. Adakah kamu tahu wahai Muhammad apakah lailatul qadar itu? lailatul qadar itu adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr :Ayat 1-3)

Dinamakan Lailatul Qadar kerana kemuliaan, kelebihan, dan banyak pahala bagi orang yang mendapatkannya. Ganjaran dan nikmat berlipat ganda diberikan kepada mereka yang menghidupkan malam tersebut. Sesungguhnya ganjaran dan nikmat yang besar ini hanyalah dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW dan tidak dikurniakan kepada umat-umat terdahulu.

Ini kerana usia umat Nabi Muhammad SAW SAW lebih pendek berbanding dengan umat terdahulu. Rasulullah SAW berdoa supaya Allah SWT memberi peluang kepada umatnya beramal dengan nilai yang sama dengan amal umat terdahulu dan doanya dimakbulkan Allah SWT.


Mengikut pendapat Syeikh Muhammad Abduh dinamakan Lailatul Qadr ialah kerana pada malam itu Allah SWT mula mentakdirkan agamaNya dan memerintah nabiNya menyeru manusia kepada agamaNya yang menghindar manusia daripada kerosakan dan kehancuran.

Malam tersebut adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai penyelamat dan pembawa rahmat bagi seluruh alam.
Sementara itu ada ulama yang berpendapat bahawa malam itu Allah SWT menetapkan takdir bagi setiap makhluk, termasuk umur, rezki, sihat dan sakit dalam jangka masa setahun; bermula Lailatul Qadr tahun ini hingga Lailatul Qadr tahun hadapan.


Almarhum Assyahid Syed Qutb pula berpendapat malam itu dinamakan Lailatul Qadr mungkin dimaksudkan dengan takdir dan tadbir atau malam penentuan dan penyusunan tadbir Ilahi yang bererti malam yang amat tinggi nilai dan darjatnya atau malam yang agung. Lailatul Qadr adalah satu malam yang amat agung kerana ia telah dipilih oleh Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul al Quran atau permulaan suluhan cahaya agama Allah ke seluruh alam, kerana al Quran itu mengandungi akidah, kepercayaan, syariat dan adab cara yang memancarkan kesejahteraan di bumi dan di hati.


Mengikut Syed Qutb, Lailatul Qadr sebenarnya suatu malam yang sungguh agung, kerana pada malam itulah Allah menjelaskan segala urusan yang bijaksana , meletakkan nilai-nilai, dasar-dasar , neraca dan menetapkan nasib individu, umat, kerajaan, bangsa-bangsa, hakikat akidah, peraturan dan hati-hati manusia.

Para ulama lain menyatakan kelebihan Lailatul Qadr ini disebabkan:


Pertama : Besar qadar, kemuliaan dan pahala bagi orang yang mengerjakan ibadat puasa pada siangnya dan qiyamullail pada malamnya.


Kedua: Diturunkan padanya al-Quran sekaligus dari Luh Mahfuz ke Baytulizzah (langit dunia). Kemudian diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW berperingkat-peringkat dalam masa dua puluh tahun.

Ketiga: Allah SWT mentakdirkan pada malam al-Qadar itu perkara yang menzahirkan segala maqadir (ketetapan) yang pada azali hendak diturunkannya ke atas segala hambaNya pada tahun berkenaan. firman Allah SWT yang bermaksud;
“ Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan pada malam lailatul Qadar itu dipisah-pisahkan segala pekerjaan yang dijanjikan daripada rezeki” (Al-Dukhan 3-4)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya telah datang kepada kamu Ramadan bulan diberkati. Allah mewajibkan berpuasa padanya. Dibuka segala pintu Syurga, ditutup pintu Neraka dan dibelenggu segala syaitan.Padanya ada satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan.

Mereka yang tidak diberi kebaikan pada malam itu bermakna telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Abu Hurairah)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...