Pages

Thursday, July 31, 2008

Keputusan JK PAS Pusat


Berikut adalah kenyataan media Tuan Guru Presiden PAS setelah mempengerusikan mesyuarat JK PAS Pusat siang tadi bersekali dengan Majlis Syura Ulamak PAS:

PAS TOLAK TAWARAN UMNO
TETAPI AKAN TERUSKAN PERBINCANGAN
DEMI KEPENTINGAN NEGARA DAN UMMAH

PAS menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan samada diperingkat Pusat ataupun negeri-negeri. Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama disemua peringkat tidak lagi berbangkit.

Walaubagaimanapun PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik , NGO, institusi-institusi dan mana-mana individu demi kepentingan negara dan ummah.

Dalam pada itu PAS mengulangi pendiriannya kekal bersama Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan yang aktif dan positif selaras dengan perjuangannya.

DATO’ SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden
Parti Islam Se Malaysia (PAS)
31 Julai 2008

Wednesday, July 30, 2008

Nik Aziz: Hudud, qisas jika PAS-Umno bersatu



Jul 30, 08 2:39pm
Pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas menjadi satu daripada cadangan bagi PAS jika pergabungan antara parti itu dan Umno menjadi satu realiti, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun, bagi Menteri Besar Kelantan itu, cadangan pelaksanaan undang-undang itu yang mengikut lunas syariat Islam, akan dilakukan kemudian, selepas muqabalah (pertemuan) antara pemimpin kedua-dua parti mencapai persetujuan yang membawa kepada penubuhan satu entiti parti politik yang baru.

Sejajar dengan semangat muqabalah untuk membincangkan masa depan umat Islam di negara ini, beliau berkata perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kerjasama Umno-PAS dalam membentuk parti baru perlu berlandaskan kepada Islam, termasuk melaksanakan hukum Hudud sebagaimana ditetapkan oleh agama.

"Yang membimbangkan saya bila kerjasama itu berlaku, ada pihak yang cuba mensabotajkan parti (gabungan PAS-Umno) dengan menganjurkan calon bebas yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengikut syariatnya bagi melawan calon kita," katanya dalam laporan Bernama.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen derma bagi kerja-kerja mengubahsuai masjid Baraah di pusat bandar Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz berkata berlandaskan semangat demokrasi di negara ini, semua pihak termasuk Umno, kaum Cina dan India boleh mengadakan perbincangan serta mengeluarkan hujah mereka untuk lebih memahami Islam dan syariatnya.

"Saya hendak benar kalau orang Cina dan India kata dia tidak mahu kepada Islam. Di mana tidak kena dengan Islam, boleh tolong beritahu, kita boleh berbincang" katanya.

Namun, katanya, bagi beliau perkara yang paling penting adalah memastikan muqabalah antara PAS dan Umno dapat dijayakan terlebih dahulu untuk membincangkan masa depan umat Islam.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali yang menawarkan kepada PAS untuk bergabung bagi menubuhkan kerajaan di negeri itu sebagai simbol perpaduan politik Melayu dan Islam, Nik Aziz berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur esok.

Tuesday, July 29, 2008

MB Minta BPR Siasat – Pemuda PAS Buat Laporan Polis


Setiausaha DPPNT Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika ditemui Buletin Online malam ini.
Beliau berkata Ahmad Said telah mengeluarkan kenyataan malam kelmarin ketika bercakap dengan pemberita, beliau mengalu-alukan siasatan BPR keatas kes penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive.

“Ahmad, dalam ucapannya berharap pihak BPR tidak memilih dalam membuat penyiasatan dan meminta pihak BPR turut menyiasat projek pembangunan Taman Tamadun Islam (TTI) di Pulau Wan Man dan Penganjuran Piala Monsun di Pulau Duyong,”kata Wan Sukairi, sebelum berceramah di Majlis Sempena Isra’ Mikraj yang diadakan di Ma’ahad Tahfidz Wal Tarbiyah, Jalan Kelantan dekat sini.

Akhbar Sinar Harian juga melaporkan perkara tersebut hari ini, 28 Julai, dimana pihak BPR telah membuat kenyataan meminta Ahmad Said tampil memberikan maklumat berhubung dakwaan penyelewengan TTI dan Piala Monsun.

Wan Sukairi menjemput para pemuda untuk mengiringi rombongan DPPNT membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 10.00 pagi, 29 Julai, 2008.

Beliau berkata tujuan DPPNT membuat laporan polis itu adalah supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat kenyataan Menteri Besar Terengganu tersebut.

“Kerana kedua-dua projek mega yang melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat tersebut memang telah disyakki berlaku penyelewengan berdasarkan beberapa kenyataan Ahmad Said sebelum ini, yang menyebut beliau tidak tahu berapa yang dibelanjakan sebenarnya dalam penganjuran Piala Monsun,”tambah Wan Sukairi.

http://buletinonline.net

Friday, July 25, 2008

PAS konsisten pertahankan prinsip


Friday, 25 July 2008
Oleh : Roslan Shahir

Kebelakangan ini kita banyak melihat PAS khasnya melalui Dewan Pemudanya sering melakukan protes sama ada terhadap kerajaan negeri milik bersama Pakatan Rakyat mahupun kerajaan yang diterajui BN. Ianya bukan sesuatu yang baru tetapi lebih kerap kebelakangan ini.
Terbaru Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan nota bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur berhubung konsert yang melibatkan artis Indonesia kontroversial, Inul, yang dijadual diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 27 Julai ini.

Sebelum itu Pejabat Daerah Johor Bharu telah membatalkan konsert yang sama yang sepatutnya diadakan di daerah tersebut 19 Julai lalu. Khabarnya Dewan Pemuda PAS Johor adalah antara yang terlibat membantah program itu.

Mengapa penting sangat kita membantah acara-acara ini, sebagaimana Dewan Pemuda Selangor merasakan penting membantah konsert Ella dan Mas Idayu di Stadium Shah Alam baru-baru ini?

Sudah pastilah ianya kait-mengait dengan asas dan dasar perjuangan kita. PAS adalah sebuah gerakan Islam dan jelas terpahat kukuh Islam sebagai dasarnya dan Islamlah juga tujuan dan matlamat perjuangannya. Lantaran itu terpikullah atas kepala bahu setiap ahli dan pendukungnya, amanah untuk memastikan yang Islam dalam apa keadaan sekalipun diperjuang, dipertahan dan dipelihara.

Allah SWT berfirman:

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian adalah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104)

Lalu dalam hal ini, PAS lah puak itu, dan tindakan PAS melalui Dewan Pemudanya itu merupakan manifestasi dari pegangan ahli-ahli PAS terhadap ayat ini malah seluruh yang dituntut dan diseru serta dijanjikan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan oleh Rasul s.a.w. melalui sunnahnya.

Kerana itu PAS tidak boleh berdiam diri dalam isu-isu kemasyarakatan dan negara khasnya yang melibatkan Islam, nasib dan masa depannya. Isu-isu Islam sama ada yang kecil atau remeh sehinggalah yang besar dan yang berkaitan dengan kenegaraan, hukum dan perundangan akan terus diperjuangkan sebagaimana yang ternukil di dalam perlembagaan parti.

Mungkin ada sesetengah pihak merasakan tindakan PAS membuat bantahan terhadap konsert itu sesuatu yang tidak signifikan. Ternyata mereka ini tidak mengenali PAS. PAS sama ada dalam keadaan ia menang besar atau tinggal satu kerusi parlimen, tanpa satu negeri pun yang ditadbir, tetap konsisten dalam usaha-usahanya. Jika tidak ia seolah menggugurkan prinsip dan dasar perjuangannya yang didukung sejak lebih 50 tahun lalu.

Kerana itu sejarah telah membuktikan PAS, sama ada dalam keadaan bersendirian atau bertahaluf dengan pihak lain, tidak pernah sekali-kali bersetuju atau bersedia menggadaikan prinsipnya kerana kemahuan kawan atau tuntutan kuasa. Dalam apa keadaan pun redha Allah adalah lebih penting dari redha manusia dan populariti. Inilah dasar yang dipertahankan oleh para pengasas kita, membawa ke zaman Almarhum Dr Burhanuddin, Almarhum Prof Zulkifli, sehingga ada yang keluar masuk penjara, tercedera hatta syahid di Memali.

Kerana itu PAS akan terus berjalan sama ada bersendirian atau berkongsi kuasa bagi menerokai jalan untuk memungkinkan Islam mendapat ruang dan peluang untuk dilaksana dan dinobatkan. Sesiapa sahaja yang membuka ruang dan peluang itu akan menjadi rakan PAS dan sesiapa sahaja yang mengekang atau menghalangnya akan ditinggalkan oleh PAS.

Kita mahu melihat 50 tahun berikutnya, PAS menempuh era baru dimana dasar dan perjuangannya diberi pengiktirafan dan dihormati serta diterima oleh semua. Itulah perjuangan kita dahulu dan itulah perjuangan kita insya Allah sampai bila-bila. - tajdid

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...