Pages

Tuesday, September 01, 2009

UPU Permatang Tengah@PRK N11



BEBERAPA KENYATAAN MENGHINA ISLAM OLEH PEMIMPIN UMNO DAN AKIBATNYA


Dalam akhbar HARAKAH bertarikh 30 Syaaban – 2 Ramadhan 1430/21 – 23 Ogos 2009, saya tertarik dengan dua fakta yang ditulis oleh Mohamed Hanipa Maidin dalam artikel beliau bertajuk “Sejak bila Umno tidak hina Islam.” Ia berbunyi seperti berikut:

i) Ucapan Dato’ Rais Yatim di Hotel Equatorial, Bangi semasa merasmikan seminar Inter Faith Commission (IFC) antara lain menyatakan (dalam bahasa Inggeris) yang terjemahannya:

(Dalam masyarakat majmuk) tiada orang yang boleh mendakwa bahawa agamanya adalah agama terbaik dengan mengenepikan agama-agama lain kerana dengan mengatakan demikian akan memusnahkan prinsip persamaan (agama) dan prinsip kemanusiaan.
Ucapan Rais Yatim ini telah diterbitkan di dalam Infoline Majlis Peguam.

ii) Dato’ Nazri Aziz pernah secara terang-terang di satu forum anjuran Majlis Peguam berkata Umno terpaksa menggunakan Islam kerana jika parti itu tidak berbuat demikian ia akan hilang undi kepada PAS.



Buat Rais Yatim dan orang-orang yang berfikiran seperti beliau, saya ingin bertanyakan begini. Dimana nak diletakkan pengesahan Allah S.W.T tentang taraf ugama islam melalui Ayat yang bermaksud:

Sesungguhnya Deen (agama) yang diredhai Allah hanyalah Islam? Inna deen na in dallah hil Islam? (Sebahagian Ayat 19: Surah Ali’Imran).”

Inikah caranya seorang pemimpin Islam membuat kenyataan? Dengan kata-kata seperti ini, syahadah kita yang bermaksud “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah” akan menjadi satu lafaz kosong. Ia bo;eh menukarkan “Asyhadu” ; langsung tidak berfungsi. Sepatutnya secara pengertiannya yang bergerak, dia(Asyhadu itu) memberi erti bahawa kita yakin sampai sanggup menjadi saksi. Perihal seriusnya kalimat syahadah ini sampai ia tidak boleh diwakili kepada orang lain untuk dilafaz.

Ucapan dan pegangan pemimpin Umno yang sebeginilah sebenarnya yang perlu direnung oleh seluruh umat Islam. Inilah salah satu puncanya sehingga saya berani membuat penegasan bahawa Umno ini membawa Islam dari benih kacukan. Islam dari jenis palsu dan plastik. Memang tepat sungguh sikap PAS yang telah menolak sebulat suara teori Kerajaan Perpaduan.

Jika samalah kedudukan rakyat yang ada agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha maka apa pula halnya dengan mereka yang berfaham Atheis yang langsung tak beragama? Apa pula kedudukan golongan komunis yang menolak agama dalam kerangka pemikiran Rais? Sama? Tak serupa? Atau serupa tapi tak sama? Yang peliknya, dalam hal semangat Melayu, pemimpin Umno bermati-matian pula mempertahankan ketuanan Melayu. Apakah Rais bermaksud, faham kebangsaan Melayu itu berada di atas dari segala-galanya termasuk Islam itu sendiri? Malu sangatkah untuk iktiraf ketuanan Islam? Tidakkah Islam itu tempatnya di atas dan tiada yang mengatasi ?

Sedarkah kita bahawa jika dilayan logik pemikiran pemimpin bertaraf Menteri di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ini, maka bila semua agama ini serupa tidakkah Hukum Murtad sudah tidak lagi diperlukan? Kubur muslim dan Non- muslim pun sudah menjadi tidak perlu kerana semua orang boleh ditanam bersekali? Mayat muslim pun apakah halal dibakar?

Sedarkah kita bahawa pemikiran jenis ini boleh membawa kita kepada fenomena perkahwinan campur antara muslim/non-muslim yang berleluasa tanpa perlu menukar agama. Ini juga bermakna Mahkamah Syariah tidak diperlukan lagi. Tak timbullah isu sebat Kartika sama ada perlu dibedal atau tidak mengikut peraturan dan syariat Islam. Pendek kata, kenyataan ini sudah tidak syak lagi telah menimbulkan keresahan yang bukan sedikit kepada umat Islam.

Menyentuh tentang kenyataan Dato’ Nazri Aziz pula, yang secara terang-terangan berkata di dalam satu forum anjuran Majlis Peguam bahawa Umno terpaksa menggunakan Islam untuk meraih undi kerana bimbangkan kehilangan sokongan kepada PAS jika tidak berbuat demikian; maka jelas di sini bahawa Umno tidak menjadikan Islam ugama untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Kenyataan ini mengesahkan bahawa Islam bukan menjadi landasan perjuangan Umno. Islam itu bukan “a complete way of life”. Sahlah dengan ini, Umno hanya menggunakan Islam untuk tujuan-tujuan upacara dan “ritual” semata-mata. Ugama Islam hanya sekadar untuk cari makan dengan mengekalkan kekuasaan? Jika timbul keperluan, Islam itu boleh diperalatkan. Yang penting ialah hegemoni dan kekuasaan politik.

Jika begitu apa pula fungsi tilawah, perarakan maulidurrasul atau sambutan maal hijrah di sisi Umno yang dianjurkan selama ini? Dalam hubungan ini, jangan salahkan rakyat jika mereka menuduh Umno sebagai parti yang hanya pentingkan kuasa. Segala komitmen terhadap projek-projek agama hanya bertujuan kosmetik, pameran atau bahan perhiasan semata-mata untuk tujuan-tujuan materialistik.

Sebenarnya, inilah yang mendorong saya untuk mengatakan bahawa Umno ini sebuah parti politik sekular yang oportunis. Ia gemar dan selalu menggunakan faham kebangsaan dan Islam bagi mengelirukan orang Melayu. Umno menggunakan kesempatan sistem sekular yang memisah agama dengan kehidupan dan kadang kala mencampur adukkan segala benda itu untuk hidup sepenuhnya dalam tubuh pergerakan Umno. Ini yang menjadikan perjuangan mereka berkecamuk, tidak berhaluan dan tidak berdasar. Dasar Umno ialah “tiada dasar”.

Inilah juga alasannya ; saya mengistilahkan Umno ini sebagai parti yang mengamalkan Islam dari baka kacukan. Inilah juga Islam palsu yang saya telah namakan kepada parti Melayu ini kira-kira dua minggu yang lalu. Saya kata Umno ini beramal atas Islam plastik, dia memfitnah saya pula yang kononnya saya mengatakan mereka mengamalkan Islam Palestin. Inilah susahnya bermain dengan parti yang tidak menjaga agama dan menjadikan dosa pahala sebagai dasar, agenda dan program perjuangan.

Pendek kata sebelum Umno menuduh saya sebagai orang yang kononnya sedangkan mengelirukan umat mengenai Islam maka melalui bukti-bukti ini rakyat sekalian boleh melihat siapa dan parti manakah sebenarnya yang sedang keliru dan tekun mengelirukan rakyat dalam segenap segi. Sambil-sambil beriktikaf di masjid dalam bulan yang semulia ini, eloklah juga kita semua membuat renungan bagaimanakah cara yang sebenar untuk menyelamatkan Islam dan umat Islam dari tipu daya rakan-rakan kita dari Umno ini ?

Sebagai penutup, izinkan saya berundur dengan menumpang doa Nabi Allah Ibrahim a.s. yang berbunyi, “ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim : Ayat 41).

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 5 Ramadhan 1430 / 26 Ogos 2009.

Monday, August 24, 2009

SMS Terakhir RADHZI kepada Setpol MB Kedah


24 August 2009
Petikan KedahLanie.blogspot.com

Maka terjadilah ia seperti mana Qada dan QadarNya...

'Salam dan selamat berpuasa. Harap tidak disalah faham. Saya tidak marahkan PAS atau sahabat-sahabat dalam PAS, malah saya akan terus menghormati ustaz (Azizan) sebagai pemimpin, salam buat dia dan semua'.

Inilah sms terkahir YB Mohd Radzi Salleh (MRS) kepada saya jam 6 petang ini semalam. Saya selalu juga menerima sms daripada MRS sejak kenal beliau Mac 2008.

Nampaknya dia sudah nekad dalam karier politiknya. Dia sudah mengistiharkan apa yang menjadi sok-sek politik Kedah sejak Mei 2008 hingga kini. Tahniah di atas keberanian menyerlahkan maksud hatinya.

Adakah Kedah akan tumbang dengan 'bom' pertama ini? Bukankah bom ini berangkai? Inilah politik Kedah, tidak sama dengan Selangor, Penang, Perak maupun Kelantan. Maka, mengambil pendekatan negeri-negeri itu untuk membandingkan dan mengesahkan Kedah terlalu perlahan adalah tidak adil dan tidak wajar.

Kedah tidak akan tumbang, jika pin bom berangkai ini ditarik satu persatu, malah letupan pertama akan jadi sia-sia bagi mereka yang memegang pin. Ada orang menyangka kita tidak tahu apa yang mereka rancangkan, padahal satu persatu plan mereka sudah dibaca. Ada satu sms MRS yang dihantar kepada saya bulan Januari lalu menyatakan dia berpolitik sejak dua puluh tahun dulu. Semua selok belok politik sudah dihadami dan hal remeh temeh seperti khabar angin bahawa dia yang menjadi 'lam' dengan bekas MB, malas dia ambil kira. Tapi saya ambil kira semua itu.

Ada ribuan orang dalam PAS yang berpolitik sejak tahun 60-an. Lebih 40 tahun sudah mengenali politik Islam dan politik sekular, yang mencari dunia, yang mana mencari balasan baik di akhirat. Kita himpun semua pengalaman itu untuk mengkayakan pengalaman jemaah dalam politik. Pengalaman jemaah tentu lebih kaya berbanding seorang dua yang membuat makar.

Exco Akan Berganti....?

Mana ada dalam dunia politik berparti, seorang calon bebas menjadi exco tatkala ramai calon yang setia kepada parti, yang lebih berwibawa dan dipercayai tidak diangkat?

Kelakarnya ialah MRS mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan YAB Perdana Menteri DS Najib, yang sah dari BN, tetapi tidak melepaskan jawatan Exco Kerajaan Negeri Kedah dan kekal sebagai Adun. Dia boleh kekal sebagai Adun Lunas, tetapi perlantikannya sebagai Exco adalah atas kuota PKR. Tentu PKR mahu kuota itu diisi oleh Adunnya yang lain.

Exco Kerajaan dilantik oleh KDYMM Tuanku Sultan atas nasihat YAB Menteri Besar. MRS mendapat nasihat yang agak baik bila menyebut dalam sidang akhbarnya bahawa Exco dilantik oleh Tuanku Sultan, dan Tuanku Sultan sahaja boleh memecatnya. Sebab itu, pagi tadi, dia datang ke pejabatnya di Blok E Wisma Darul Aman tanpa rasa apa-apa. Oleh kerana yakin Tuanku Sultan tidak akan memecatnya, maka dia secara terbuka mengistiharkan dia akan kekal sebagai Exco.

Adakah di akan dibiarkan begitu sahaja? Tidak!!! Dia sudah menjadi bebas, tidak berparti. Exco dilantik atas nasihat YAB MB kepada Tuanku Sultan atas sifat keputusan kolektif Ahli-ahli Yang Berhormat yang menang dalam DUN. jika Exco boleh diisi oleh sesiapa sahaja, lebih baik lantik Exco yang baik-baik yang banyak pengalaman dari UMNO atau MCA! Saya katakan yang baik-baik... kaki rasuah, kaki bolot tak boleh, kaki cari kekayaan, tak boleh! Kalau melihat rekod MRS, dia tak jauh beza dari 'kaki-kaki' itu.

Apa yang dia hilang dengan keputusannya itu? Banyak juga...elaun Exco RM15-16 ribu akan menyusut ke elaun Adun RM4,500 sebulan. Pencen sebagai Exco hilang kerana dia tidak berkhidmat cukup 36 bulan. Apa yang dia dapat? Banyak juga la barangkali...

Dia ada beberapa bidang tanah di Langkawi yang dibeli semasa menjadi Exco, dia ada kilang mencetak pakaian di Napoh, dia ada restoren di Shahab Perdana, dia ada beberapa isteri yang telah dikahwininya, salah seorang semasa menjadi Exco, tetapi sudah diceraikannya. Dia dapat banyak juga dah pun.. kalau itu yang dia cari...

Yang mencari dunia, ambillah dunia sebanyak mana yang dimahukan, tapi bagi yang bershahadah, ingatlah balasan di akhirat, yang mengharapkan balasan baik di akhirat, Allah akan bentangkan dunia secara percuma... esok kita bercerita lagi... lepas YAB MB mengadap maklum Tuanku Sultan..!

Setpol MB - Muhammad Sanusi Md Nor.
2 Ramadhan 1430 / 23 Ogos 2009

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...