Pages

Tuesday, March 30, 2010

Bangunan UMT runtuh: 1 maut, 4 cedera




Kelihatan anggota Bomba dan Penyelamat menggunakan jentera bagi mengangkat sisa runtuhan untuk mengeluarkan mangsa dari runtuhan bangunan Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT). – Foto Bernama
KUALA TERENGGANU, 29 Mac — Seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh dalam satu kejadian petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata buruh terbabit tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya empat rakan mangsa dilaporkan cedera termasuk seorang cedera parah akibat dihempap dan terjatuh dari para besi yang runtuh ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air dan membancuh konkrit di bangunan itu pada kira-kira pukul 5.10 petang.
Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum diperolehi, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
“Ketika sedang melakukan kerja-kerja menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan itu iaitu di ketinggian lapan meter, para besi yang diduduki oleh beberapa pekerja tiba-tiba runtuh bersama konkrit tangki air yang masih belum keras.
“Konkrit bersama para besi itu kemudian menimpa beberapa orang lagi pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja-kerja membancuh simen di bawah,” katanya.
Pauzan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih berada di tempat kejadian sehingga pukul 8 malam ini untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika terdapat mangsa yang masih tertimbus ekoran kejadian itu.
Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur UMT setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Dis 2008 dan dijangka siap 18 Oktober tahun ini.

Seorang saksi yang juga juruperunding untuk projek berkenaan Sharif Dollah, 30-an berkata beliau berada di kawasan berhampiran apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan.
“Saya nampak beberapa orang pekerja Bangladesh terjatuh dari para besi yang runtuh itu, dan apabila menghampiri tempat kejadian saya dapati mereka telah berlumuran dengan simen yang masih basah dan ada yang berdarah,” katanya.
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan orang pekerja Bangladesh sedang melakukan kerja-kerja di situ.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said turut melawat tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat tentang kejadian itu.
Beliau melahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu dan menyifatkan ia berpunca daripada kecuaian pekerja itu sendiri.
Sehubungan itu, beliau menasihati pekerja-pekerja pembinaan supaya mengutamakan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian hari ini. — Bernama

Sunday, March 14, 2010

Friday, March 05, 2010

Ustaz Nasharudin Ziarah Ketua Dewan Ulama' PAS

DUNGUN, 5 Mac - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa pagi tadi menziarahi Ketua Dewan Ulama' PAS, Ustaz Harun Taib setelah sekian lama beliau terlantar sakit. Nasharudin yang hadir ke Terengganu mengambil kesempatan tersebut selepas beliau dijemput untuk menghadiri satu program perasmian ijtima' semalam di Dungun.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Ustaz Harun Taib telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 7 Januari 2010 yang lalu. Beliau mengalami tekanan darah tinggi yang yang berlebihan sehingga boleh menyebabkan 'minor stroke'.

Walaubagaimanapun, beliau turut berazam untuk terus berkhidmat dalam perjuangan Islam selagi masih hidup. Meskipun kelihatan masih letih, namun beliau tetap ceria dan bersemangat menyambut kehadiran Timbalan Presiden PAS disamping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang berlaku di Malaysia dan perkembangan semasa parti.

Semalam Nasharudin Mat Isa telah merasmikan Ijtima' Pelajar-Pelajar Pondok Terengganu di Pondok Darul Bayan, Kampung Pinang Merah, Paka. Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai kepentingan ilmu serta kewajiban beramal dengannya. Beliau turut berharap agar pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di pondok agar sentiasa berdampingan dengan masyarakat supaya dapat membimbing dan mendidik mereka dengan ajaran Islam.

Tambahan lagi, beliau mencadangkan agar dapat menubuhkan Rabithah Pelajar Pengajian Islam Terengganu. Ia bertujuan untuk terus menyuburkan perkembangan tradisi ilmu-ilmu Islam dan berusaha untuk membaiki sistem-sistem pendidikan supaya sejajar dengan kehendak semasa. -ANN

Thursday, March 04, 2010

Solat Hajat Perdana di Rusila 11 Mac

KUALA TERENGGANU, 3 Mac: Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu akan mengadakan Kuliah Maghrib Khas dan Solat Hajat Perdana di Masjid Rusila pada 11 Mac ini.

Setiausahanya, Yahaya Ali berkata, majlis yang dipimpin oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu merupakan usaha menjana semangat dan kekuatan baru kepada semua kepimpinan dan ahli seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh setiausaha PAS cawangan supaya menjemput semua ahli dan penyokong di tempat masing-masing untuk hadir ke majlis yang bermula jam 7.21 hingga 9.30 malam itu.

“Kesungguhan pihak saudara bagi memastikan kehadiran yang ramai dari cawangan saudara sudah tentu merupakan simbol kekuatan kepada parti kita,” ujarnya di dalam surat kepada setiausaha PAS cawangan seluruh negeri.

Menurutnya, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS negeri, ketua-ketua dan ahli-ahli jawatankuasa dewan-dewan peringkat negeri juga dijemput hadir ke majlis tersebut.

Beliau juga meminta setiausaha PAS kawasan supaya memastikan surat makluman program itu sampai ke cawangan-cawangan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...